Prof Said Bani dilantik Ahli Lembaga Penasihat Global WCFA
Astro Awani
Februari 22, 2024 11:45 MYT
Februari 22, 2024 11:45 MYT
KUALA LUMPUR: World Communications Forum Association (WCFA) yang berdaftar di Davos, Switzerland dan diasaskan oleh sekumpulan pengamal komunikasi dari Eropah, Asia dan Amerika Latin baru-baru ini melantik Prof Mohd Said Bani C.M Din sebagai Ahli Lembaga Penasihat Global mereka.
Pelantikan Pengarah Urusan bzBee Consult Sdn Bhd dan Presiden Public Relations and Communications Association (PRCA) Malaysia ini mencatat sejarah julung kalinya pengamal perhubungan awam, agensi Malaysia dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat Global pertubuhan berkenaan.
Lantikan Said Bani diluluskan sebulat suara oleh Jawatankuasa Eksekutif dan ahli yang hadir semasa Perhimpunan Agung Tahunan WCFA pada 15 Februari lalu.
Pengiktirafan ini berdasarkan pengalaman serta kepakaran visi unik dan standard etika yang tinggi Said Bani, serta semangat dan sumbangan beliau dalam mempertingkatkan tahap industri perhubungan awam di Malaysia.
Antara pencapaian peringkat antarabangsa Said Bani ialah anugerah ‘Pemimpin Perhubungan Awam Terbaik Asia-Pasifik’ 2022 oleh WCFA.
Said Bani juga telah berjaya menerajui bzBee Consult untuk merangkul Anugerah Komunikasi WCFA Davos bagi Kempen Komunikasi Global pada Disember 2023 untuk acara Rainforest World Music Festival anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak.
Anugerah tersebut diberi untuk kempen yang berjaya mempromosi jenama nasional ke peringkat antarabangsa, menjadikan bzBee Consult agensi tempatan pertama menerima pengitirafan sedemikian.
Ini jelas menandakan kemajuan signifikan industri perhubungan awam dan komunikasi Malaysia di persada dunia.
Menurut Said Bani, lantikan ini mencerminkan signifikan platform digital yang memberi ruang kepada pengamal industri tempatan untuk mendapat pendedahan dan mengukuhkan rangkaian pada peringkat global.
“Peluang ini membolehkan kerjasama, meningkatkan tahap profesionalisma, etika, dan seterusnya membuktikan syarikat tempatan setanding dengan agensi antarabangsa.
"Terima kasih diucapkan kepada setiap warga bzBee Consult, PRCA Malaysia juga rakan pengamal perhubungan awam dan media atas sokongan tidak berbelah bahagi.
“Diharapkan pengamal industri tempatan dapat bersama-sama berusaha ke arah pengiktirafan di pentas global. Saya juga berharap syarikat konglomerat tempatan, GLC dan agensi kerajaan dapat memberi pengiktirafan sewajarnya kepada keupayaan agensi perhubungan awam tempatan,” kata beliau kepada Astro AWANI.
Turut berkongsi keterujaannya atas lantikan ini ialah Presiden WCFA Davos, Maxim Behar yang menyambut baik pelantikan Said Bani.
“Saya berbesar hati dan menyambut baik pelantikan Prof Mohd Said Bani sebagai Ahli Lembaga Penasihat Global kami.
“Kepakaran Prof Mohd Said Bani sudah pasti akan meningkatkan usaha kolektif memartabatkan Industri perhubungan awam di peringkat global. Sekali lagi, terima kasih atas sokongan anda,” jelas Behar.
Sebagai Presiden PRCA Malaysia, sebuah persatuan rasmi untuk perunding Perhubungan Awam dan Komunikasi di Malaysia, Said Bani terlibat secara aktif dalam meningkatkan landskap perhubungan awam dan komunikasi di Malaysia.
Dengan lantikan ini, kepakaran dan pengalaman Said Bani akan memanfaatkan WCFA dan seterusnya menyumbang kepada misi persatuan untuk mempromosi kecemerlangan, inovasi dan amalan beretika, seterusnya berada di barisan hadapan dalam mempraktikkan amalan terbaik, di dalam industri perhubungan awam.