Produktiviti negara akan terjejas kerana kesesakan jalan raya - PM Anwar
Ridauddin Daud
Mac 16, 2023 13:06 MYT
Mac 16, 2023 13:06 MYT
SERDANG: Produktiviti negara akan terjejas kerana kesesakan jalan raya yang berlaku di Malaysia pada setiap hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masa terlalu lama di atas jalan menyebabkan hilangnya produktiviti pekerja yang sekali gus menjejaskan negara.
Tegasnya, jawapan kepada semua permasalahan itu adalah jaringan pengangkutan awam yang efisien.
"Tahun depan, seperti saya bayangkan kepada Anthony Loke (Menteri Pengangkutan), soal pengangkutan awam..dengan kesesakan, sebenarnya akan menyinggung soal produktiviti.
"Produktiviti negara itu akan terjejas kerana kesesakan. Masa yang diambil untuk sampai ke tempat kerja, itu adalah masa yang menyebabkan hilangnya produktiviti.
"Satu kajian yang menarik saya lihat di Bangkok beberapa tahun yang lalu, menunjukkan berapa bilion Dolar AS kehilangan dari sudut produktiviti semata-mata kerana kesesakan yang parah.
"Sebab itu jawapannya apa? Jawapannya pengangkutan awam," katanya ketika berucap semasa merasmikan Majlis Pelancaran Pembukaan MRT Laluan Putrajaya di sini pada Khamis.
Menurutnya, beliau menyerahkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk menentukan keutamaan mereka dalam pengangkutan awam selepas pelancaran perkhidmatan MRT terbaharu itu.
Begitupun, beliau turut mengingatkan supaya prinsip ketelusan diteruskan dalam aspek penyelenggaraan dan pelaksanaan projek baharu selepas ini.
"Saya tegaskan ini kerana kita perlu kerjasama semua rakyat. Kita datang ke sini, raikan projek raksasa yang membanggakan negara, beri keselesaan pada rakyat.
"Bila projek seperti ini dijalankan dengan telus, kita boleh manfaatkan lebihan dana itu untuk digunakan, melaksanakan projek kecil yang lain untuk rakyat," ujarnya.