Produktiviti buruh Malaysia turun 0.8 peratus pada suku pertama 2020

Bernama
Mei 21, 2020 18:02 MYT
Meskipun prestasi ekonomi yang perlahan pada 0.7 peratus pada suku pertama, pekerjaan meningkat 1.6 peratus dengan merekodkan sebanyak 15.2 juta orang. - Gambar fail
Produktiviti buruh Malaysia bagi bagi suku pertama 2020, mencatatkan penurunan 0.8 peratus daripada 1.4 peratus pada pada suku keempat 2019 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik COVID-19.
Nilai ditambah per pekerja adalah sebanyak RM22,578 pada suku pertama 2020 berbanding RM24,263 pada suku keempat 2019.
Produktiviti buruh, atau nilai ditambah per pekerja dianggar dengan membahagikan nilai ditambah dan pekerja yang merangkumi majikan, pekerja, bekerja sendiri dan pekerja keluarga tanpa gaji.
Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja meningkat 2.1 peratus (S4 2019: 1.4 peratus) dengan nilai ditambah per jam bekerja adalah RM40 per jam (S4 2019: RM42 per jam). Peningkatan produktiviti buruh per jam bekerja pada suku ini adalah berikutan penurunan besar dalam jam bekerja berbanding pengeluaran output yang sederhana, katanya dalam satu kenyataan hari ini.
"Pelaksanaan fasa pertama PKP telah menyebabkan kejatuhan jumlah jam bekerja pada suku ini.
"Purata jam bekerja pada suku ini hanya 44.3 jam seminggu (S4 2019: 45.0 jam seminggu). Nilai ditambah yang menunjukkan output barangan dan perkhidmatan domestik yang dihasilkan tumbuh marginal 0.7 peratus pada S1 2020 berbanding 3.6 peratus pada suku sebelumnya," katanya.
Beliau berkata meskipun prestasi ekonomi yang perlahan pada 0.7 peratus pada suku pertama, pekerjaan meningkat 1.6 peratus dengan merekodkan sebanyak 15.2 juta orang.
Mohd Uzir berkata dari sudut sektor ekonomi, produktiviti buruh mengikut pekerja bagi sektor Pertanian turun 8.9 peratus (S4 2019: -6.1 peratus) manakala bagi sektor perlombongan dan pengkuarian susut 0.4 peratus (S4 2019: -4.0 peratus).
Sektor Pembuatan mencatatkan penurunan pertumbuhan produktiviti buruh mengikut pekerja pada 0.2 peratus (S4 2019: 0.8 peratus) manakala sektor pembinaan jatuh 5.3 peratus (S4 2019: 3.2 peratus).
Sektor Perkhidmatan merupakan satu-satunya sektor yang mencatatkan peningkatan positif produktiviti buruh per pekerja pada kadar 0.5 peratus (S4 2019: 2.9 peratus), katanya.
Mohd Uzir berkata selain permintaan global yang lebih perlahan, peristiwa luar jangka ini telah turut mempengaruhi ekonomi Malaysias.
Kejatuhan produktiviti buruh mengikut pekerja pada masa yang mencabar ini adalah berikutan kebanyakan industri mengekalkan pekerja di sebalik pertumbuhan perlahan pengeluaran.
Bagaimanapun, beliau berkata prestasi produktiviti buruh mengikut jam bekerja meningkat berikutan berlakunya pengurangan ketara jumlah jam bekerja terutamanya dalam tempoh PKP dan tidak dipengaruhi penggunaan automasi dalam industri.
Di sebalik kejutan ekonomi yang dialami, Mohd Uzir berkata industri dengan penggunaan teknologi tinggi berupaya mengekalkan produktiviti dan perniagaan mereka.
"Industri yang berintensifkan modal serta mengadaptasi automasi dilihat lebih berdaya tahan dan mempunyai produktiviti buruh yang lebih tinggi berbanding industri yang berintensifkan buruh.
"Sebagai contoh, aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman di Malaysia yang sinonim dengan penggunaan guna tenaga yang ramai dalam operasi sesebuah restoran atau kedai makan, akan berhadapan dengan isu kejatuhan produktiviti buruh semasa berlakunya krisis seperti pandemik COVID-19.
"Ini kerana, walaupun berlaku kekurangan permintaan perkhidmatan tersebut, pengusaha masih mengekalkan pekerja dan meneruskan pembayaran gaji," katanya.
Beliau berpandangan bahawa penggunaan automasi, penyesuaian operasi perniagaan dapat dilaksanakan dengan segera semasa menghadapi krisis dan seterusnya produktiviti buruh dapat dikekalkan.
Dalam hal ini, industri perlu memanfaatkan krisis ini untuk menilai kembali struktur perniagaan sedia ada dengan melaksanakan inovasi ke arah norma perniagaan baharu.
Seterusnya, dalam jangka masa panjang, negara akan dapat menangani isu ketidakpadanan pekerja dengan mewujudkan lebih banyak pekerjaan mahir.
Beliau berkata krisis ini juga sewajarnya dijadikan titik perubahan untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah.
Ia sekaligus akan meningkatkan pulangan kepada faktor pulangan bersesuaian dengan tahap pendidikan tertiari penduduk di negara ini yang semakin meningkat.
Memandangkan kebanyakan industri di negara ini masih berintensifkan buruh, pada masa ini setiap pengeluaran bernilai RM1, pengagihan kepada pekerja adalah sebanyak RM0.36 sahaja, katanya.
Mohd Uzir berkata, jalinan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan dan industri adalah penting ke arah transformasi industri berintensifkan modal dan peralihan kepada teknologi tinggi.
-- BERNAMA
#buruh #COVID-19 #ekonomi #Malaysia #Pekerja #PKP #produktiviti
;