Produktiviti buruh catat pertumbuhan 2.1 peratus suku pertama 2023

Bernama
Mei 18, 2023 23:01 MYT
Mohd Uzir berkata, dari segi nilai, produktiviti buruh per jam bekerja pada suku pertama 2023 adalah RM41.20 berbanding RM43.20 per jam pada S4 2022. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Produktiviti buruh Malaysia yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per jam bekerja mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus dengan jumlah jam bekerja meningkat 3.5 peratus mencatatkan 9.2 bilion jam pada suku pertama (S1) 2023, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam kenyataan hari ini mengenai Statistik Produktiviti Buruh Suku Pertama 2023, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata ekonomi Malaysia pada suku tahun pertama 2023 berkembang 5.6 peratus selepas merekodkan pertumbuhan 7.1 peratus pada suku tahun sebelumnya. Bilangan pekerja meningkat kepada 16.1 juta orang atau pertumbuhan 3.1 peratus berbanding S4 2022 catat 15.9 juta orang pekerja dengan pertumbuhan 3.2 peratus."
Mengulas mengenai prestasi produktiviti buruh, beliau berkata dari segi nilai, produktiviti buruh per jam bekerja pada suku pertama 2023 adalah RM41.20 berbanding RM43.20 per jam pada S4 2022.
Katanya produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah bagi setiap pekerja naik 2.4 peratus merekodkan RM23,712 berbanding 3.7 peratus merekodkan RM24,966 per pekerja pada S4 2022.
Dari segi prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per jam bekerja, empat sektor mencatatkan kenaikan didahului sektor pembinaan pada 6.5 peratus berbanding 8.0 pratus pada S4 2022.
Rumusannya Mohd Uzir berkata: "Dalam keadaan ekonomi Malaysia yang memulih, walaupun dijangka ekonomi mengalami pertumbuhan rendah pada tahun ini, produktiviti buruh pada suku-suku tahun akan datang digambarkan lebih baik apabila disokong momentum positif perkembangan pasaran buruh dan aktiviti perniagaan yang terus bertahan.
"Lanjutan daripada ini, kesungguhan negara dalam mempercepatkan penerapan inovasi dan teknologi, serta dorongan ke arah pertumbuhan ekonomi berteraskan inovasi, akan memastikan peningkatan perniagaan yang dipacu inovasi dan sasaran prestasi produktiviti buruh yang tinggi," katanya.
-- BERNAMA
#Jabatan Perangkaan Malaysia #iinovasi #Produktiviti buruh #aktiviti perniagaan
;