Produktiviti akan meningkat dengan waktu kerja lebih pendek - Pakar sumber manusia
Bernama
Ogos 18, 2022 20:40 MYT
Ogos 18, 2022 20:40 MYT
KUALA LUMPUR: Pakar sumber manusia memuji langkah kerajaan untuk mengurangkan waktu bekerja kepada 45 jam daripada 48 jam seminggu, seterusnya hal ini akan meningkatkan produktiviti khususnya bagi pekerja kolar biru yang juga boleh bekerja dari rumah.
Ketua Pegawai Eksekutif, GKK Consultants Sdn Bhd, Dr Gajendra Balasingham berkata pengurangan waktu bekerja ini adalah situasi sama menang untuk kedua pihak.
"Sebilangan pihak mungkin mengatakan tindakan ini hanya melibatkan tiga jam sahaja namun hal tersebut adalah satu langkah dalam hala tuju yang betul.
"Menerusi proses dan sistem teratur yang dilaksanakan, waktu bekerja yang pendek benar-benar akan membawa kepada produktiviti yang sebenarnya meningkat memandangkan pekerja berasa bersemangat dan dihargai," katanya kepada Bernama pada Khamis.
GKK Consultants ialah syarikat perundingan latihan dan pensijilan yang ditubuhkan pada 2011 serta mempunyai jangkauan merentas ASEAN serta India dan Sri Lanka.
Waktu bekerja di Malaysia akan dipendekkan mengikut pindaan Akta Kerja 1955 berkuat kuasa 1 Sept, 2022 yang bertujuan menjaga kebajikan pekerja dan memberi kelonggaran dalam waktu kerja selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Gajendra berkata pendekatan keseluruhan menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap tenaga kerja negara, dan pada masa sama, dari sudut kelebihan pula, langkah itu membolehkan majikan memanjangkan sedikit masa lapang untuk pekerja.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pekerja terpaksa bekerja keras malah kadangkala bekerja lebih beberapa jam dari rumah berbanding yang sepatutnya, sesetengah mereka juga bimbang jika kehilangan pekerjaan.
"Dalam banyak cara, pandemik COVID-19 telah membuka begitu banyak laluan baharu, kemungkinan dan pilih atur untuk bekerja dari rumah, dengan banyak kepercayaan diberikan kepada pekerja yang terus menunjukkan prestasi baik," katanya.
Beliau berkata norma baharu dan Era Digital Disruptif telah memberi makna baharu dan fleksibiliti dari sudut waktu bekerja selain wujud alternatif hibrid untuk dipertimbangkan yang mengurangkan masa perjalanan ulang-alik ke dan dari tempat kerja.
Pekerja sudah cukup dewasa untuk diberi kepercayaan bagi menghantar tugasan apabila diperlukan dan tepat pada masanya, katanya.
Beliau berkata kadangkala majikan juga perlu mempertimbangkan keadaan pekerja dan tidak membebankan mereka secara melampau.
"Lagipun, mereka juga manusia dan mereka perlu dihargai, tunjukkan sedikit sikap ambil berat dan prihatin terhadap mereka," katanya.
Walaupun kepercayaan diberikan untuk majikan dan pekerja menyelesaikan masalah, indeks prestasi utama dengan tugasan kerja juga perlu dipantau dan diberi ganjaran, katanya.
"Menerusi pendekatan bertolak ansur, persekitaran kerja hibrid yang seimbang akan dapat diwujudkan dan keperluan pekerja juga akan dipenuhi," katanya.
-- BERNAMA
#waktu kerja pendek
#kerja empat hari
#pakar sumber manusia
#produktiviti
#GKK Consultants Sdn Bhd
#Dr Gajendra Balasingham