Produk susu Dutch Lady sah selamat digunakan

Najib Aroff
Februari 28, 2018 14:45 MYT
Penyiasatan yang dijalankan oleh Dutch Lady mengesahkan hanya produk Dutch Lady yang sahih sahaja dijual di pasaran. - Gambar fail
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan semua produk Dutch Lady adalah selamat untuk digunakan.
Menurut Dutch Lady Malaysia dalam satu kenyataan, kesemua produk mereka disahkan selamat dan memenuhi piawai keselamatan makanan Malaysia dan antarabangsa.
“Keputusan makmal KKM adalah 100 peratus selaras dengan ujian bebas Dutch Lady Malaysia yang dijalankan oleh makmal-makmal yang diakreditasi di Malaysia dan Singapura.
“Penyiasatan yang dijalankan oleh Dutch Lady seterusnya mengesahkan bahawa hanya produk Dutch Lady yang sahih sahaja dijual di pasaran.”kata Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Tarang Gupta.
“Dutch Lady telah beroperasi di Malaysia sejak 55 tahun dan kesihatan serta kesejahteraan para pengguna sentiasa menjadi keutamaan kami.”tambahnya.
Baru-baru ini tular di media sosial salah satu produk Dutch Lady menyebabkan alahan pada bayi yang meminum susu berkenaan.
Susulan itu Dutch Lady mengambil sampel susu tersebut dan melakukan ujian persendirian dan turut menghantar ke makmal KKM untuk pengesahan kualiti produk.
#alahan #bayi #Dutch Lady Malaysia #Kementerian Kesihatan Malaysia #konsumer #Malaysia #media sosial #produk susu #sampel #Singapura #susu #tarang gupta
;