Produk mengandungi steroid anabolik, tidak berdaftar bernilai RM8.3 juta dirampas
Bernama
September 7, 2023 18:00 MYT
September 7, 2023 18:00 MYT
MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) merampas 642 produk mengandungi steroid anabolik dan produk tidak berdaftar bernilai RM8.3 juta dalam Ops Pharma, semalam.
Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Rusdi Abd Rahman berkata operasi itu yang turut disertai pelbagai agensi bermula 2 petang hingga 10.30 malam menyerbu tujuh premis termasuk rumah dan stor.
"Tindakan diambil rentetan aduan awam berkaitan penjualan produk steroid anabolik menerusi platform e-dagang.
"Operasi turut menahan dua lelaki berusia 30 dan 40 tahun serta merampas lima peranti digital," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati penjualan produk itu dilakukan secara aktif sejak dua tahun lepas dengan kesemua produk diimport dari beberapa negara dan dijual secara dalam talian.
"Steroid dikategorikan sebagai racun terkawal dan kerap disalah guna untuk tujuan membina otot badan.
"Jadi ia perlu diambil atas nasihat doktor dan ahli farmasi kerana penyalahgunaan boleh merosakkan buah pinggang, ketidakseimbangan hormon dalam badan serta terdedah kepada risiko penyakit kencing manis dan darah tinggi," katanya.
Menurut Dr Rusdi, penjualan produk tidak berdaftar adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12 (1) Akta Jualan Dadah 1952.
Beliau berkata mereka didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-dua bagi kesalahan berikutnya.
"Bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya manakala bagi kesalahan memiliki racun berjadual untuk tujuan jualan tanpa lesen racun boleh dihukum di bawah Seksyen 13(a) Akta Racun 1952," katanya.
Dr Rusdi berkata orang ramai boleh melaporkan sebarang penjualan produk tidak berdaftar melalui laman sesawang www.pharmacy.gov.my, portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) http://moh.spab.gov.my, mana mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran atau hubungi talian 03-78413200.
-- BERNAMA