Produk inovasi pendidikan mampu rangsang kreativiti pelajar

Nabihah Hamid
November 12, 2013 23:02 MYT
Produk inovasi berkaitan sistem pendidikan dapat merangsang kreativiti dalam kalangan pelajar, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Dr Mazlan Khamis.
Penggunaan produk tersebut bukan sahaja akan memantapkan lagi sistem pendidikan negara malah bantuan alat pendidikan yang lebih praktikal akan menjana minda pelajar dengan lebih berkesan.
"Kebanyakan produk yang digunakan dalam sistem pendidikan berasaskan buku teks. Bahan untuk memudahkan sistem pembelajaran atau alat bantuan tidak dicipta. Oleh itu, dengan produk YIM (berkaitan pendidikan), ia boleh digunakan untuk alat bantuan pelajar di sekolah.
"Malah, ia turut boleh digunakan keluarga untuk anak-anak mereka," kata Dr Mazlan ketika ditemubual ekslusif bersama Astro Awani.
Justeru, YIM berharap agar inisiatif yang dijalankan akan mendapat perhatian Kementerian Pendidikan, katanya.
"Sekiranya diberi perhatian oleh kementerian, ia sememangnya merupakan satu sumbangan yang besar kepada inovator dan harapan kami amat besar supaya boleh terima dari kementerian pendidikan," Dr Mazlan berkata di pameran World Inovation Forum Kuala Lumpur (WIF-KL) 2013.
YIM sendiri mempamerkan beberapa kategori produk inovasi, antaranya produk berasaskan makanan, pendidikan, permainan dan muzik.
Lebih 200 gerai pameran produk inovasi menanti pengunjung. Penubuhan pusat pameran itu secara tidak langsung memasarkan produk inovasi tempatan kepada negara luar. Langkah itu sekaligus mencipta budaya inovasi baharu dalam kalangan masyarakat.
Pameran tersebut berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bersempena WIF-KL 2013 dengan kerjasama YIM selama tiga hari dari 12 November. Ia diadakan bagi membincangkan pendekatan terbaharu yang boleh diketengahkan dalam memperkasa industri inovasi negara ini.
#inovasi #sistem pendidikan #WIFKL 2013 #World Innovation Forum Kuala Lumpur 2013 #Yayasan Inovasi Malaysia
;