Produk inovasi Maryam akan dipatenkan elak diciplak
Sinar Harian
September 30, 2021 06:14 MYT
September 30, 2021 06:14 MYT
KUANTAN: Produk Yam 2.0, hasil inovasi murid 11 tahun Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Methodist sehingga mendapat pengiktirafan antarabangsa akan dipatenkan bagi melindungi produk itu daripada diciplak.
Bapa kepada Maryam, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hasan berkata, kos proses pemfailan produk yang dihasilkan anaknya itu akan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Perbadanan Harta Intelek (MyIPO).
Menurutnya, proses mempatenkan hasil inovasi itu akan dilakukan secepat mungkin dan ia sebenarnya memberikan pengiktirafan hak milik kreativiti kepada Maryam.
"Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada kerajaan terutamanya beberapa kementerian seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KPDNHEP. Seperti hari ini (Khamis), Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam bersama agensi MyIPo telah mengadakan pertemuan secara sidang maya.
"Ini sudah cukup membuktikan kerajaan cakna dan prihatin di atas usaha dan kejayaan anak saya di Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021) baru-baru ini dan amat mengambil berat tentang isu harta intelek (intelectual property)," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Sebelum ini, Maryam memenangi tiga pingat emas dalam pertandingan inovasi dan reka cipta yang berlangsung di Toronto, Kanada pada Ogos lalu.
Maryam mempertaruhkan produk Yam 2.0 melalui inovasi sejenis makanan haiwan baharu yang diperbuat daripada kulit udang dan siput sedut.
Kisah Maryam mendapat perhatian pengacara hos terkenal antarabangsa, James Corden pada 23 September lalu.
Alexander sebelum ini memaklumkan pihak kerajaan akan menanggung semua proses mempatenkan hasil inovasi itu bagi mengelak produk Yam 2.0 daripada diciplak.
Katanya, kos untuk proses pemfailan paten ini dianggarkan kira-kira RM20,000.
"Kita akan bantu adik Maryam memperoleh hak ke atas produk ciptaannya supaya ia dapat dikomersialkan.
“Selain itu kejayaan adik Maryam bukan sahaja membanggakan ibu bapa dan negara, dan ia juga adalah sesuatu yang boleh dijadikan contoh oleh ibu bapa lain supaya terus memberi sokongan kepada anak mereka dalam menghasilkan ciptaan seumpama ini,” katanya ketika mengadakan pertemuan secara maya bersama Maryam dan keluarganya.
Selain itu, Alexander turut memberikan sumbangan peribadi RM500 kepada Maryam sebagai tanda sokongan dan penghargaan atas kejayaannya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.