Produk halal Malaysia dapat tempat di selatan Thailand

Bernama
November 29, 2021 12:41 MYT
Program "Rasa-Rasa Malay Aroi" berlangsung di ASEAN Mall di Pattani bermula 27 November sehingga 5 Disember.
PATTANI (Selatan Thailand): Program expo dan pameran produk makanan Halal Malaysia "Rasa-Rasa Malay Aroi" yang diadakan di Pattani, selatan Thailand bermula Sabtu lepas menerima respon baik daripada kalangan penduduk tempatan.
Kaunselor Pertanian, Pejabat Perwakilan Pertanian di Bangkok Hairuddin Maslan berkata produk makanan halal Malaysia jelas mendapat tempat di kalangan pengguna di selatan Thailand.
"Penerimaan pengunjung terhadap produk yang diketengahkan adalah sangat baik dan dijangka produk-produk ini mampu menembusi pasaran Thailand," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Program pameran dan expo produk Halal Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui Pejabat Perwakilan Pertanian Bangkok, untuk meneroka potensi produk industri makanan keluaran usahawan kecil dan sederhana Malaysia di pasaran Thailand.
Melalui program "Rasa-Rasa Malay Aroi" di ASEAN Mall di Pattani bermula 27 November sehingga 5 Disember, produk makanan dan barangan penjagaan diri berasaskan hasil tani keluaran 31 usahawan bimbingan agensi di bawah MAFI dan agensi-agensi lain diperagakan.
Turut terlibat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Syarikat Unity Asia Link Sdn Bhd sebagai syarikat peneraju bertujuan mengenalpasti produk-produk yang mempunyai permintaan di kalangan pengguna di selatan Thailand, yang majoritinya beragama Islam dan mempunyai citarasa hampir sama dengan penduduk Malaysia.
Program ini juga dijangka dapat meningkatkan permintaan terhadap produk-produk makanan Halal negara dan sekaligus dapat membuka ruang pasaran baru kepada usahawan Malaysia untuk meningkatkan jualan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 yang melanda dunia.
-- BERNAMA
#produk makanan halal #Thailand #Hairuddin Maslan #Rasa-Rasa Malay Aroi
;