Produk halal kekuatan PKS Malaysia di CAEXPO 2019
Afiezy Azaman
September 19, 2019 18:06 MYT
September 19, 2019 18:06 MYT
Produk halal merupakan kekuatan kepada kebanyakan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menyertai Pameran Ekspo ASEAN China (CAEXPO 2019) ke-16 di Nanning dari 21 hingga 24 September ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Wan Latiff Wan Musa, itu dapat dilihat berdasarkan analisis penjualan di CAEXPO tahun sebelum ini.
“Setiap negara yang menyertainya mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan kita kuat dari segi penjualan produk-produk halal.
“Majoriti produk yang kita promosikan di CAEXPO ini adalah di bawah makanan dan minuman jadi kekuatan kita di situ, lagipun kita sememangnya peneraju pasaran produk halal di rantau ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Nanning, China, pada Khamis.
Selain itu, Wan Latiff turut menyatakan syarikat PKS yang menyertai CAEXPO 2019 tidak perlu bimbang kerana pasaran China begitu besar sehinggakan menggabungkan 10 negara dalam ASEAN masih belum cukup untuk menampung pasarannya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati syarikat PKS yang ingin dan sedang menyertai CAEXPO 2019 untuk membuat persediaan rapi seperti corak permintaan di pasaran China.
“Perlu buat kajian pasaran China, penyelidikan dan pembangunan produk serta kualiti dan standard produk itu sendiri mesti memenuhi kehendak pasaran.
“Dari segi teknologinya, tidak boleh lagi membuat produk di belakang rumah kalau mahu dieksport, kita melihat kepada pengalaman lepas di mana syarikat tidak mampu memenuhi permintaan pasaran.
“Dari segi kapasiti pengeluaran produk, standard produk pengiktirafan melalui sijil-sijil juga penting untuk mengembangkan perniagaan di pasaran besar China dan mampu bertahan lama,” jelasnya.