ProAIBI2024 anjuran Politeknik dan Kolej Komuniti fokus Kelestarian Alam Bina
Astro Awani
Mei 17, 2024 07:50 MYT
Mei 17, 2024 07:50 MYT
TEMERLOH: Bahagian Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), dengan kerjasama Kolej Komuniti Temerloh, telah menganjurkan Projek Alam Bina Tahun 2024 (ProAlBi 2024) dari 14 hingga 16 Mei, dengan tema “Kelestarian Alam Bina”.
Acara ini bertujuan memperkasakan bidang Alam Bina dalam program pengajian Asasi Teknologi Kejuruteraan di bawah bidang Kejuruteraan Awam & Alam Bina.
ProAlBi 2024 tahun ini memperkenalkan segmen baru dengan kolaborasi antarabangsa dari Kolok Industrial and Community Education College, Thailand.
Acara ini melibatkan 40 pasukan terdiri daripada 75 peserta dari seluruh Malaysia serta Thailand, menjadikannya platform penting untuk pendedahan dan penglibatan pelajar dalam program berskala besar selari dengan Lonjakan 4 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pendidikan Tinggi (PPPM-PT).
Tujuan utama ProAlBi 2024 adalah untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan bidang Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, memberikan nilai tambah, serta memperkenalkan teknologi terkini dalam industri pembinaan di Malaysia.
Acara ini mempamerkan produk inovasi pelajar dari Unit Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, dengan setiap projek dinilai dari pelbagai aspek oleh panel juri berpengalaman.
Enam panel juri yang berpengalaman telah dilantik untuk menilai setiap projek.
Menurut Ketua Juri, LAr. Mohd Yusri Othman (AMP), Pengarah Jabatan Landskap Majlis Perbandaran Temerloh, semua projek yang membuktikan keupayaan pelajar dalam membangunkan insiatif yang memberi impak di samping menunjukkan kefahaman serta minat mendalam peserta dalam bidang Alam Bina.
Dalam masa sama, beliau berharap projek seperti ini dapat diteruskan untuk menghasilkan graduan TVET yang holistik.
Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Governan) JPPKK,Ts. Kamaludin Daud.
Juara ProAlBi 2024 dimenangi oleh pasukan dari Kolej Komuniti Selandar dengan projek bertajuk “Bridge Vibes”, yang membawa pulang piala dan sijil.
JPPKK berharap untuk terus menghasilkan graduan TVET yang holistik, yang akan menjadi tunjang industri pembinaan dan pelapis negara, selaras dengan hala tuju Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dengan rakyat yang berdaya saing.