PRN: Tun M seru orang ramai keluar mengundi, tentukan kerajaan negeri dan masa depan
Abd Hadi Che Awang
Ogos 12, 2023 10:45 MYT
Ogos 12, 2023 10:45 MYT
ALOR SETAR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru pengundi-pengundi di keenam-enam negeri yang mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebelum pusat pengundian ditutup petang ini.
Menurut beliau, PRN kali ini adalah platform penting bagi rakyat di negeri yang terlibat untuk memilih kerajaan yang menjadi pilihan mereka untuk lima tahun akan datang.
"Dulu (pada pilihan raya sebelum-sebelum ini) ramai sikit (keluar mengundi), kali ini tak berapa ramai, kadang-kadang orang kita tidak ambil berat… ramai patut keluar sebab ini nak tentukan nasib dan masa depan dia orang.
"Tetapi kadang-kadang dia orang bosan (dengan situasi politik), kalau pilih (kerajaan negeri) tak jadi apa (kepada mereka)… ini perasaan yang tidak bertanggungjawab kerana kalau kita dapat kerajaan yang tidak baik kita akan menderita," kata negarawan berusia 98 tahun itu.
Dr Mahathir yang juga bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berkata demikian kepada pemberita selepas selesai membuang undi di Sekolah Kebangsaan Titi Gajah, di sini, pada Sabtu.
Sebelum itu, Dr Mahathir bersama isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali tiba di sekolah berkenaan pada jam 9.10 pagi sebelum masing-masing selesai membuang undi pada jam 9.22 pagi dan 9.24 pagi.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tahap kesihatannya susulan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini, Dr Mahathir memaklumkan, beliau berada dalam keadaan yang baik.
"Keadaan kesihatan saya baik tetapi ada sedikit demam sebelum ini, doktor ada minta saya ke hospital tetapi saya tidak mahu ke sana, saya fikir di rumah pun saya boleh diperiksa dan dirawat, namun mereka masih mahu saya ke hospital.
"Jadi saya pergi ke hospital, dan ketika ini saya dalam keadaan yang baik selepas dibenarkan keluar dari wad hospital sebelum ini," ujar Dr Mahathir lagi.