PRN Terengganu: Wau bulan gergasi runtuh dilanda ribut

Sinar Harian
Julai 27, 2023 16:22 MYT
Kejadian berlaku ketika hujan lebat itu dipercayai disedari seseorang yang kebetulan berada di lokasi berkenaan sebelum merakam dan menularkan video itu di media sosial. - Gambar/ Sinar Harian
MARANG: Replika wau bulan gergasi yang dibina jentera Pas dekat Pasar Kedai Buluh, di sini runtuh akibat dipukul ribut dalam kejadian petang Rabu.
Kejadian berlaku ketika hujan lebat itu dipercayai disedari seseorang yang kebetulan berada di lokasi berkenaan sebelum merakam dan menularkan video itu di media sosial.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd Rosman Abdullah berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kerosakan replika yang dipasang sempena pilihan raya negeri (PRN) itu.
Sebaliknya, kata beliau beberapa kemusnahan kediaman dan pokok tumbang dilaporkan berlaku ekoran kejadian ribut yang berlaku petang semalam.
"Kita ada menerima laporan kejadian pokok tumbang akibat ribut yang menghalang laluan penduduk kampung dan taman perumahan di dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
"Kejadian pokok tumbang melibatkan Kuala Nerus di kawasan taman perumahan antaranya Taman Muhajirin 2, Taman Sri Batin dan Taman Muhajirin 4," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Khamis.
Selain itu, katanya, laporan mengenai pokok tumbang juga diterima melibatkan kawasan termasuk Pulau Musang, Taman Sapura Indah; Taman Semarak, Bukit Tunggal; Kampung Balai Maras; Kampung Duyong; Sungai Ikan; Losong Atap Zin; Pantai Putri, Tok Jembal; Taman Sri Batin; Kampung Tok Jembal; Kampung Dusun, Kuala Nerus; Kampung Balai Maras; Kampung Padang Hiliran; Kampung Telaga Batin; Batu Buruk Kg Tok Jembal dan Gong Kuin, Tok Jembal.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan suasana menjelang PRN menjadi 'hangat' apabila binaan replika wau bulan Pas gergasi mencuri tumpuan orang ramai di Marang.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, pembinaan replika wau bulan itu mengambil masa dua minggu dan siap sepenuhnya pada 13 Julai lalu. - Sinar Harian
#PRN #PRN Terengganu #replika wau bulan #wau bulan dipukul ribut
;