PRN: Terengganu umum Ahad ini cuti peristiwa
Umavathi Ramayah
Ogos 11, 2023 21:06 MYT
Ogos 11, 2023 21:06 MYT
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengisytiharkan Ahad ini sebagai cuti peristiwa sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung, esok.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat bagi memudahkan pengundi luar yang bekerja di negeri itu untuk pulang mengundi di negeri masing-masing.
“Keputusan ini dibuat bagi memudahkan pengundi dari luar Terengganu yang bekerja di Terengganu untuk pulang ke tempat mengundi masing-masing di Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya dalam Facebook di sini, pada Jumaat.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memberitahu, pengumuman itu juga mengambil kira tugasan dan bagi memudahkan kakitangan kerajaan negeri yang bertugas sehingga lewat malam membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negeri pada hari pengundian.
Pada masa sama, beliau berharap pengumuman itu akan dapat memberikan kemudahan dan keselesaan kepada semua yang terlibat dalam pesta demokrasi pada Sabtu ini.
Secara keseluruhan, seramai 9,796,616 orang pengundi bakal mengundi membabitkan 9,674,456 orang untuk PRN dan 122,160 bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.
Sebelum ini, kerajaan Selangor mengumumkan Isnin depan sebagai cuti peristiwa sekiranya gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya negeri (PRN) ini pada Sabtu.