PRN serentak di enam negeri langkah tepat, manfaat banyak pihak
Bernama
Julai 5, 2023 07:30 MYT
Julai 5, 2023 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kesepakatan kepimpinan di enam negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) dijalankan serentak disifatkan sebagai satu langkah tepat dan bermanfaat untuk banyak pihak.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata proses demokrasi itu yang menelan perbelanjaan tinggi dan memerlukan kerjasama daripada pelbagai agensi serta pemegang taruh adalah lebih menjimatkan.
"Dulu PRN dan Pilihan Raya Umum serentak dan ia memang banyak menjimatkan perbelanjaan dan perkara seperti tenaga petugas, kos dalam membuat persediaan, menggunakan tenaga agensi kerajaan yang membantu SPR terutamanya PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan PBT (pihak berkuasa tempatan) di seluruh negara.
"...kalau tak buat serentak mereka bekerja dua, tiga kali perkara yang sama," katanya semasa menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk 'PR6N: Kini Bermula' terbitan BernamaTV, Rabu malam.
Terdahulu, SPR menganggarkan pelaksanaan PRN serentak di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan akan melibatkan perbelanjaan RM420 juta.
SPR hari ini mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon di keenam-enam negeri berkenaan pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala pengundian awal pada 8 Ogos.
Pada program sama, Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd Muis berkata tempoh kempen agak panjang ditetapkan SPR diharap dapat memuaskan hati semua pihak selain dapat menarik pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.
-- BERNAMA