PRN: Sempit dan kurang pelanggan, peniaga mohon Pasar Sementera Semenyih ditambah baik

Hasimi Muhamad
Ogos 9, 2023 11:50 MYT
HAYATI: Di sini (Pasar Sementara Semenyih), kurang datang pelanggan. Susah juga kita nak jual sebab barang mahal. Kadang kala kita beli ribuan (modal), tetapi pulangan kurang. -Foto/AWANI
SEMENYIH: Kos sara hidup menghimpit semua lapisan masyarakat, dari bandar sehingga ke pinggir bandar.
Kadang kala rakyat buntu, tak tahu nak mengadu kepada siapa, dan paling tidak mereka pendam sendiri.
Ibarat air diminum terasa duri, nasi dimakan terasa sekam. Ini gambaran sesuai dek kegelisahan memikirkan bebanan kos sara hidup.
Bagi peniaga sayur di Pasar Sementera Semenyih, Hayati Jasmani, 61, kesukaran hidupnya memaksa dia terus berniaga bagi menyara kehidupan sekeluarga.
"Susah juga kita nak jual sebab barang mahal. Kadang kala kita beli ribuan (modal), tetapi pulangan kurang.
"Mak cik kalau tak berniaga ini, langsung tak boleh makan; kalau tak berniaga, makan pun kena berkira-kira. Ini saja harapan mak cik (untuk dapat pendapatan).
"Kadang-kadang pelanggan bukan nak beli di pasar sebab sekarang banyak pasar raya, baik mereka pergi sana.
"Di sini (Pasar Sementara Semenyih), kurang datang pelanggan, dan itu mak cik hadapi hari-hari," kongsinya kepada Astro AWANI, di sini.
Ujar wanita itu lagi, kalangan pemimpin hanya petah berbicara isu negara, tetapi masalah setempat seperti isu jalan raya dan banjir tidak pula 'diselesaikan'.
"Tak payah cakap pasal negara, negara itu (memang perlu diurus). Tolong rakyat, apa masalah rakyat... negara tetap negara.
"Mak cik nak suruh orang (pihak berkaitan) tengok macam mana kehidupan rakyat di sini," tambahnya.
Sementara itu segelintir peniaga yang ditemui mendakwa keadaan Pasar Sementara Semenyih yang sempit memberi kekangan untuk berniaga, selain menjejaskan kehadiran pelanggan.
Menurut Shaifful Bahari Redzwan, 39, tapak pasar asal yang dikatakan mahu diubah suai sehingga kini didakwa belum melalui kerja-kerja penyelenggaraan.
"Perancangan mereka (pihak berkaitan) kata dua tahun, tetapi sampai sekarang tempat itu tak pecah lagi. Masa kami keluar bulan Mac, sehingga sekarang tak pecah lagi.
"Kita harap dipercepatkan proses pembinaan itu dan kami pun dapat tempat yang selesa," katanya.
Bagi seorang lagi peniaga sayur, Abdul Ghani Maarif Irwan, 28, keadaan di pasar sementara itu juga tidak mempunyai fasiliti yang baik untuk urusan perniagaan.
"Kita kan duduk di pasar sementara, jadi di sini (tiada) kemudahan yang lengkap, seperti pengaliran air tak sesuai di sini.
"Sebab sini asalnya stesen bas dan tiba-tiba diubah jadi pasar," kata bapa kepada empat orang cahaya mata itu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menyaksikan saingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN), Wan Zulaika Anua dan Perikatan Nasional (PN), Nushi Mahfodz.
#Saingan di DUN Semenyih #Isu kesesakan jalan Semenyih #Pasar Sementera Semenyih
;