"Pembubaran DUN secara serentak perlu dilakukan bagi memastikan kos untuk mengadakan PRN di kesemua negeri tersebut pada tahun hadapan tidak terlalu tinggi," katanya kepada pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan adalah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan pula diterajui Pas.
Enam negeri tersebut tidak membubarkan DUN masing-masing untuk dijalankan secara serentak dengan peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov.
Menurut Amirudin, asas DUN di enam negeri itu tidak dibubarkan berserentak pada PRU15 itu kerana telah ada perbincangan tidak rasmi antara enam negeri itu mengenainya.
Beliau menjangkakan PRN akan dilaksanakan selepas Aidilfitri tahun hadapan namun bergantung kepada situasi di peringkat kerajaan Persekutuan dan cuaca.
"Saya tidak boleh sebut bayangan (tarikh khusus bubar) tetapi kemungkinan sampai selepas Hari Raya, agak besar. Namun, kita akan lihat dan tertakluk kepada perbincangan dengan negeri lain," katanya.
-- BERNAMA