PRN Sarawak: Wujudkan pusat kebudayaan tradisional, promosi keunikan Belaga - Belia
Syafik Shukri Jalil
November 30, 2021 20:32 MYT
November 30, 2021 20:32 MYT
BELAGA: Sebuah pusat latihan khusus bagi mendalami seni dan budaya tradisional perlu dibangunkan sebagai usaha mengekalkan keunikan dan kepelbagaian etnik di Belaga.
Menurut Pengerusi Kelab Belia Kubu Pekan Belaga, Nichol Agoi, pembangunan itu penting bagi membolehkan golongan belia tidak terus melupakan tradisi pelbagai etnik di kawasan itu.
‘’Saya selalu menggalakkan golongan belia di sini untuk terus menghargai tradisi kita dan saya juga merancang mewujudkan kelas Tarian Ngajat dan kelas muzik sape.
‘’Maka, fasiliti khas perlu dibangunkan untuk tujuan ini, bagi membolehkan mereka mendalami, mempelajari dan menjadi duta kecil mempromosi Belaga kepada masyarakat luar,’’ katanya.
Nichol berkata demikian menerusi slot khas Sarawak Memilih pada Selasa.
Selain itu, aspek pembangunan digital golongan belia di Belaga juga tidak seharusnya dipinggirkan kerana golongan itu perlu dipersiapkan dengan asas-asas dan kemahiran digital bagi mendepani saingan di luar.
Untuk itu, dia mengharapkan agar kelajuan capaian Internet di kawasan itu dapat dipertingkatkan untuk terus memperkasa kemahiran digital dalam kalangan anak muda di sana.
‘’Kelab belia saya khususnya pernah menganjurkan pertandingan e-sukan khusus untuk anak-anak muda di kawasan Belaga.
‘’Ia bukan sekadar untuk tujuan rekreasi tetapi sekiranya bakat ini dapat dikesan dan dikomersialkan, mereka boleh menjana pendapatan hasil daripada permainan ini.
‘’Jadi tahun hadapan kalau boleh, diperbanyakkan lagi pertandingan e-sukan untuk menggalakkan belia-belia turut serta pada masa sama, saya berharap kelajuan Internet di sini dapat dipertingkatkan,’’ ujarnya.
PRN Sarawak : Perkasa pembangunan belia di Belaga
Menyentuh mengenai pembangunan ekopelancongan di Belaga, Nichol berkata Belaga merupakan kawasan yang masih terpelihara dengan kehijauan, kepelbagaian dan keunikan alam semula jadi.
Untuk itu, potensi bagi sektor ekopelancongan adalah tinggi dan dia mengharapkan agar lebih banyak inap desa dibangunkan bagi membolehkan keunikan ini dapat dinikmati oleh masyarakat luar.
‘’Bukan sekadar alam yang menghijau, banyak aktiviti-aktiviti menarik juga pernah dianjurkan di sini, kita pernah ada regata dan mungkin tahun depan akan ada lagi penganjurannya di sini.
‘’Selain itu kita pernah menganjurkan pertandingan motorboat yang semestinya mampu menarik minat orang luar untuk datang ke Belaga,’’ tambahnya lagi.