PRN Sarawak: Tanah tak rata, penduduk sukar bina penempatan baharu

Syafik Shukri Jalil
Disember 1, 2021 12:32 MYT
Menurut Penduduk Kampung Gelam, mereka memerlukan belanja yang besar untuk membina penempatan di tahnah yang dikurnia kerajaan berikutan keadaannya yang tidak rata dan curam. - Foto Astro AWANI
SONG: Penduduk Kampung Gelam di sini memohon agar kerajaan membantu mereka dalam urusan berkaitan tanah penempatan baharu yang sudah diterima mereka sejak lima tahun lepas.
Ini kerana struktur tanah berkenaan yang curam tidak memungkinkan pembinaan kediaman yang selamat dapat dilakukan.
Justeru, mereka memerlukan modal yang besar bagi meratakan tapak tanah selain membina sistem perparitan yang efisien sebelum rumah dapat dibina.
Menurut Ketua Kampung Gelam, Hossen Damni, pengurniaan tanah ini melibatkan 60 penerima dan ia dibahagi kepada dua fasa.
Ia dikhususkan bagi golongan B40 yang menetap lebih daripada satu keluarga dalam sebuah kediaman.
“Ketika ini, kita nak buat rumah baru pun susah sebab masalahnya tanah ini yang berbukit-bukau.
“Kebanyakkan penerima lot ini melibatkan mereka yang tidak berkemampuan seperti ibu tunggal dan golongan mualaf.
“Malah ada juga penerima yang terdiri dari kalangan petani dan tidak mempunyai pendapatan tetap,” katanya.
Bagi Pandi Bohari yang merupakan penerima tanah fasa satu, dia bersyukur kerana menerima tapak tanah bagi penempatan baharu itu.
Namun ujarnya, pengurusan tanah tersebut akan lebih lancar sekiranya kerajaan membantu dalam urusan melabelkan tapak tersebut.
“Saya bersyukur kerana menjadi salah seorang penerima tanah ini namun saya mengharapkan agar kerajaan membantu dalam urusan meratakan tapak setiap penerima.
“Kalau sudah diratakan mungkin bagi mereka yang mampu, boleh terus mendirikan rumah di sini.
“Oleh itu, saya memohon jasa baik kerajaan membantu kami meratakan tanah dan kalau boleh menyediakan sistem perparitan yang baik,” ujarnya.
Manakala bagi Sani Sulhi yang merupakan penerima tanah fasa kedua, dia mengharapkan agar kerajaan boleh membina terus rumah kos rendah bagi penerima lot tanah di kawasan tersebut.
Ini kerana rata-rata penerima katanya tidak berkemampuan untuk membersihkan kawasan tanah yang diterima apatah lagi membina rumah di sana.
“Jadi sekiranya kerajaan dapat membantu membina rumah secara bina terus, penduduk kampung hanya membayar secara bulanan kepada pemaju.
“Saya pasti ramai yang akan bersetuju sekiranya langkah ini dipertimbangkan dan dijayakan,” katanya lagi.
Masalah sama dihadapi penduduk Kampung Melayu di Jalan Awang Sutoh di Belaga.
Menurut Ketua Kampung, Awang Japar Awang Kabar, tanah yang diperoleh penduduk kampung itu juga tidak sesuai untuk dibina penempatan baharu.
“Jadi lot yang baru ini kita lihat tidak sesuai dengan keadaannya tidak rata yang memerlukan wang yang besar sebelum rumah dapat dibina.
“Bagi saya adalah wajar sekiranya tanah yang diberikan sudah selesai dibersihkan maka dengan itu senang kita nak buat rumah.
“Kami bersyukur dan berbesar hati dengan kurniaan ini tapi kalau boleh kami mengharapkan struktur yang lebih rata,” ujarnya.
Kampung Melayu di Belaga dibuka pada 1862 dan merupakan penempatan bagi lebih 500 penduduk.
Sebelum ini sebuah perkampungan lain, Kampung Hijrah telah dibuka bagi menampung kepadatan di kampung tersebut.
Bagaimanapun i Kampung Hijrah pulu kini juga padat setelah berlaku peningkatan populasi.
#Kampung Gelam #Penempatan baharu #sistem perparitan #PRN Sarawak
;