PRN Sarawak: SPR bersedia dengan SOP lebih ketat
Munirah Mudzamli
Disember 3, 2020 13:04 MYT
Disember 3, 2020 13:04 MYT
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia jika Sarawak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) pada bila-bila masa dengan mengguna pakai prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ini termasuk semua kempen rumah ke rumah dan ceramah terbuka melibatkan orang ramai tidak dibenarkan sebaliknya ceramah hanya dilakukan menerusi dalam talian (online).
Tambahnya, SOP ketat sama turut diguna pakai SPR bagi dua Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Gerik dan Bugaya pada 16 Januari depan.
"Ini adalah pendekatan yang baharu dan masyarakat perlu menerima hakikat bahawa kaedah itu berbeza ketika COVID-19 dengan pilihan raya sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Bapa Malaysia pada Khamis.
Terdahulu, Abdul Ghani dan rombangan mengadakan pertemuan hampir satu jam kepada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Selain itu, ditanya mengenai proses kempen dalam talian di kawasan luar bandar Sarawak yang tidak mempunyai capaian internet yang stabil, Abdul Ghani menjelaskan pihaknya sedang berbincang dengan operator perkhidmatan di kawasan-kawasan terjejas.
Katanya, perbincangan itu bagi memastikan proses kempen dalam talian berjalan lancar sekali gus para pengundi boleh mengikutinya menerusi media sosial setiap calon bertanding.
"Bagi kawasan yang tidak mendapat capaian internet memuaskan terutama di luar bandar Sarawak, kita berbincang dengan operator perkhidmatan termasuk Telekom Malaysia (TM) bagi memastikan capaian itu memuaskan," katanya.