PRN Sarawak: SOP baik, namun perlu tambahan untuk elak penularan COVID-19 - Dr Malina
Fareez Azman
Disember 5, 2021 18:05 MYT
Disember 5, 2021 18:05 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) khusus untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan menjadi tidak bermakna sekiranya tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak.
Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM , Dr Malina Osman berkata, kebimbangan orang ramai masih wujud berhubung penularan COVID-19, ditambah lagi dengan kemunculan varian baharu Omicron.
Dr Malina berkata, secara keseluruhan, SOP PRN Sarawak adalah baik, namun, masih ada risiko yang perlu diambil kira seperti ceramah dan ziarah dari rumah ke rumah.
"Sepanjang wabak, kita mempunyai SOP yang sangat komprehesif, dokumentasi dan cara perlu dilaksanakan. Tapi dalam realiti, perlu komitmen semua pihak di peringkat masyarakat dan juga pasukan pemantau dan penguatkuasaan.
“Kalau boleh anggota penguatkuasaan untuk pemantauan SOP itu dapat ditambah dan jangan benarkan aktiviti makan minum. Masyarakat kita sangat pemurah, kadang-kadang setiap kali orang datang, kita akan jamu minuman.
“Harap itu boleh ditambah larangan, bila ada makan minum, pasti buka pelitup muka, maka ruang penularan," jelas Dr Malina dalam wawancara dengan Astro AWANI pada Ahad.
Awal hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan penganjuran ceramah secara fizikal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mencapai jaringan internet sahaja pada PRN Sarawak.
Perkara itu dimaklumkan dalam pemakluman SOP pencegahan COVID-19 yang dimuat naik di laman sesawang SPR pada Ahad.
Selain itu SPR menjelaskan, penganjur perlu mendapatkan permit daripada pihak polis sebelum mengadakan ceramah dengan peruntukan masa dua jam serta tidak melebihi pukul 10 malam di lokasi tertutup.
Mengulas lanjut, Dr Malina berkata, beliau mengharapkan agar mereka yang belum mendapatkan suntikan vaksinasi untuk melakukannya dengan segera termasuk dos penggalak.
"Memang perlu ambil vaksin bagi perlindungan. Saya syorkan semua berikan temu janji vaksin, tampil dapatkan vaksin (dan) kalau ditanya pasal vaksin, tidak ada peraturan wajibkan lengkap vaksin boleh undi sama seperti di Melaka.
"Namun dengan kehadiran varian Omicron, perlu pertimbangan wajar dalam tangani penangan wabak sebaik-baiknya," jelasnya lagi.
#Astro Awani
#COVID-19
#pelitup muka
#pilihan raya
#Sains
#SOP
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#vaksin
#varian baharu
#Internet
#PRN Sarawak
#Dr Malina Osman
#penularan