PRN Sarawak: Premis sering dimasuki pencuri, peniaga harap kawalan keselamatan dipertingkat
Afiezul Samit
November 8, 2021 15:54 MYT
November 8, 2021 15:54 MYT
KUCHING: Tingkatkan kawalan keselamatan di kawasan premis perniagaan bagi memastikan para peniaga tidak mengalami kerugian sekaligus menjamin keselamatan peniaga dan pelanggan.
Itu luahan usahawan kedai makanan Sim Hong Lang 60 tahun yang telah 40 tahun menceburkan diri dalam perniagaan.
Menceritakan pengalamannya, kedai makan miliknya di kawasan Batu Lintang sudah tiga kali dimasuki pencuri.
Bertambah malang, insiden terbaharu berlaku pada tahun lepas iaitu ketika para usahawan tenat tidak dibenarkan berniaga.
"Pada waktu malam ketika kedai sudah tutup. Pencuri akan ambil barang yang mudah diambil.
"Malah kedai saya pernah hilang kelengkapan untuk bermasak seperti dapur dan tong gas.
"Pada tahun lepas dua kipas siling saya dicuri. Sampai sekarang saya belum mampu untuk mengantikan yang baru," katanya ketika ditemui wartawan Astro AWANI.
Hong Lang juga mengharapkan agar kawasan letak kereta diperluaskan bagi memberi keselesaan kepada pelanggan.
Sementara itu, peniaga kecil di Pasar Besar Petanak, Pending turut mengharapkan akses keselamatan diberikan di kawasan mereka.
Liew Sui Ching 72 tahun berkata, tiada lain yang diharapkan melainkan untuk menyediakan pengawal keselamatan atau polis peronda.
"Pertama adalah keselamatan barulah boleh untuk mencantikkan kawasan supaya pelanggan selesa.
"Dari segi fasiliti saya tidak ada masalah kerana pihak Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) telah beri yang terbaik untuk kami para peniaga," katanya ketika ditemui.
30 tahun berniaga, Sui Ching pernah menjadi saksi salah seorang pelanggan menjadi mangsa ragut di kawasan tersebut.
Sejak kejadian itu, rondaan dan pemantauan dilakukan oleh pihak MBKS dan polis untuk menjaga keselamatan para peniaga dan orang awam.
Namun Sui Ching berharap agar pihak polis lebih kerap untuk membuat rondaan pada masa-masa tertentu memandangkan pasar tersebut mula beroperasi seawal jam 1 pagi.
Untuk makluman, kawasan Pending dimenangi Violet Yong Wui Wui dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) manakala Batu Lintang pula dimenangi See Chee How dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) Sarawak pada 2016.