PRN Sarawak: Pertanian fokus utama pembangunan di DUN Layar

Assim Hassan
November 13, 2021 14:11 MYT
Rentap ketika meleraikan tanaman lada yang dijemur oleh para petani di Rumah Panjang Muman Spak, Betong. - Astro AWANI
BETONG: Sektor pertanian akan menjadi fokus utama pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Layar bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Penyandang ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, usaha itu disokong menerusi pembinaan pusat pengumpulan makanan (food basket) selain Lapangan Terbang Spaoh.
Katanya, dengan adanya lapangan terbang itu, hasil tanaman dan produk pertanian yang ada di Betong mampu dipasarkan ke luar negara terutama ke Singapura.
"Atas sebab itu saya memberi fokus kepada kemudahan infrastruktur jalan raya berturap di semua kawasan di DUN Layar. Untuk makluman hampir 90 peratus kawasan rumah panjang di DUN itu sudah mempunyai akses jalan yang selesa dan selamat.
"Saya juga mahu melihat jalan-jalan ladang yang lebih luas dapat disediakan kerana kita mahu lori-lori besar dapat masuk untuk membawa hasil tanaman berbanding lori kecil," katanya kepada Astro AWANI.
Sehubungan itu, Rentap berkata, pendidikan digital adalah pelaburan jangka panjang beliau bagi memberi pendedahan kepada anak-anak muda mendalami dunia tanpa sempadan.
"Kita mahu anak-anak di luar bandar ini jika mahu menjadi petani mereka menjadi petani muda yang berjaya. Ada misi seperti mampu mengadaptasi kemudahan digital kerana mereka sejak awal sudah didedahkan dengan komputer dan sebagainya.
Sehubungan itu, beliau yang baru satu penggal memegang kerusi DUN itu mengharapkan jaringan internet yang lebih dapat diperluas di luar bandar bagi memudahkan para petani beralih ke pertanian pintar dan menggunakan Internet of Things (IOT).
"Ini sangat membantu para petani. Mereka duduk di rumah ada boleh membuat kawalan jauh tetapi dalam masa sama mampu meningkatkan hasil tanaman," katanya.
#Pertanian Betong #Pertanian Lada #gerald rentap jabu #Lapangan Terbang Spaoh
;