PRN Sarawak: Perbaiki, cari mekanisme terbaik buat pengundi di pedalaman
Nuzuluddin Abdul Razak
November 4, 2021 18:39 MYT
November 4, 2021 18:39 MYT
KUCHING: Rakyat Sarawak mahu Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pilihan raya negeri (PRN) diperbaiki dan diteliti khususnya bagi pengundi di pedalaman.
Menurut mereka, ini adalah perlu memandangkan situasi pandemik COVID-19 yang masih lagi membelenggu rakyat ketika ini.
Bagi penduduk yang ditemui Astro AWANI, antara kekangan yang dihadapi oleh penduduk di pedalaman termasuklah jaringan internet, telekomunikasi, pengangkutan dan lokasi tempat tinggal yang terletak jauh dari tempat mengundi.
“Mereka di pedalaman memang ada masalah pengangkutan, tinggal sangat jauh. Jadi, sistem komunikasi perlu disediakan lebih awal seperti internet agar mereka dapat tahu info-info tentang pilihan raya ini.
“Apa perlu mereka buat, bagaimana kaedah mengundi dilaksanakan, jadual mengundi... jadi, info ini penting untuk kita sebarkan dahulu, supaya SOP (prosedur operasi standard) yang disediakan dapat dipatuhi secara maksimum,” katanya Azahari Ahmat yang bekerja di Miri.
Oleh yang demikian, katanya kemudahan WIFI dan fasiliti telekomunikasi perlu disediakan terlebih awal bagi memastikan PRN dapat dilaksanakan dengan terurus dan sistematik.
Pada masa yang sama, Timbalan Tuai Rumah Panjang Richard Engkirik, Kapit, Ajin Mamat berkata, kebiasaannya seperti pilihan raya yang lalu, jadual turun mengundi disediakan mengikut jumlah pengundi.
Katanya, sistem berkenaan boleh dinaik taraf dengan menetapkan waktu yang lebih relevan dengan jumlah pengundi di sesebuah rumah panjang selaras dengan SOP COVID-19.
“Dahulu semasa PRN ke-11, semua penghuni rumah panjang akan turun mengundi dengan cara berbaris tanpa ada jadual waktu khas yang ditetapkan kerana waktu itu tiada COVID-19.
“Sekarang ini, saya percaya perlu adanya jadual waktu yang kondusif. Sebagai contoh dalam waktu satu jam untuk 30 orang atau kurang daripada itu, selain ditambah dengan SOP yang lebih ketat untuk mengelakkan kesesakan yang melampau,” ujar Richard.
Manakala, bagi pengurus akaun Mohammad Morshidi, beliau percaya jentera-jentera kerajaan termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bersiap siaga untuk melaksanakan pilihan raya di negeri itu.
“Saya percaya mereka (SPR) sudah bersiap siaga, namun SOP PRN kali ini perlu diperhebatkan, kerana kita akan mengundi dalam era pandemik, dan perlu untuk SPR memperuntukkan SOP yang inklusif sesuai dengan struktur geografi negeri agar apa yang berlaku semasa PRN Sabah tidak berulang,” jelasnya.
Ini antara reaksi yang diluahkan oleh rata-rata penduduk di Bumi Kenyalang selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuatkuasa 3 November 2021 ketika Proklamasi Darurat di negeri itu diungkai oleh Yang di-Pertuan Agong semalam.
Untuk makluman, SPR akan mengadakan mesyuarat khas berkenaan pelaksanaan PRN-12 Sarawak selepas menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkenaan penamatan darurat di negeri itu pada 3 November 2021.
Untuk rekod, Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom turut mendedahkan jumlah pengundi berdaftar di Sarawak sehingga 31 Mac 2020 ialah seramai 1,246,001 pengundi dengan 7,310 merupakan pendaftaran baharu.