PRN Sarawak: Peniaga kecil Meradong mahukan tapak baru, lengkap bekalan api dan air
Syafik Shukri Jalil
Disember 11, 2021 20:16 MYT
Disember 11, 2021 20:16 MYT
BINTANGOR: Peniaga makanan yang berniaga secara kecil-kecilan di Bintagor mengharapkan ada inisiatif dilaksanakan bagi membolehkan sebuah tapak perniagaan baharu disediakan untuk mereka beroperasi.
Mereka juga mengharapkan agar sekiranya tiada perancangan membina tapak baharu, sekurang-kurangnya kerajaan dipilih kelak prihatin dengan membaik pulih tapak sedia ada di kawasan itu yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Meradong.
Ketika ditemui Astro AWANI, Ahmadi Bohari berkata, mereka sudah berniaga untuk satu tempoh yang lama di kawasan tersebut.
Katanya, wajar untuk pemerintah seterusnya membela nasib mereka bagi membolehkan operasi perniagaan dapat dijalankan dengan lebih baik.
“Kalau saya semestinya saya mahukan sebuah tempat yang lebih bagus dan teratur macam di tempat-tempat lain.
“Dan saya juga berharap agar sekurang-kurangnya mereka (kerajaan) menaik taraf tapak sedia ada dan menyediakan bekalan elektrik dan air untuk komuniti peniaga di sini,” katanya ketika ditemui di Bintagor pada Sabtu.
Bagi Iffa Atiqa yang membantu keluarganya berniaga di tapak itu, perkara sama diharapkan memandangkan ada harinya mereka perlu berniaga untuk tempoh lebih panjang.
“Ada masa kami berniaga dari jam 7 pagi sehingga 7 malam dan kadang-kadang memang panas.
“Jadi saya berharaplah bekalan elektrik dan air dapat disambungkan ke tapak perniagaan kami ini,” tambahnya.
Manakala bagi Christina Peling Chua, ketika ini tiada sebarang kesukaran dihadapi dalam menjalankan operasi perniagaan di tapak tersebut.
Namun ujarnya pembinaan tapak baharu akan mampu menarik lebih ramai pelanggan sekali gus meningkatkan pendapatan komuniti peniaga kecil di sana.
“Saya tidak berdepan sebarang masalah setakat ini, perniagaan lancar tapi kalau dibuat satu tapak baharu, bagus jugalah.
“Kalau ada tapak baharu, mesti lagi ramai orang datang dan pasti kita lebih untung. Jadi cadangan ini mungkin boleh dilaksanakan,” tambahnya lagi.
Kawasan DUN Meradong memiliki 18,156 daftar pemilih yang akan menunaikan tanggungjawab menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada 18 Disember ini.
DUN Meradong ketika ini disandang oleh Datuk Ding Kuong Hiing dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) sejak 2016.
Pada PRN11, beliau yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya mengetepikan calon DAP, Ting Tze Fui dengan memperoleh 6,865 undi berbanding Ting dengan 5,349 undi.