PRN Sarawak: Pembangunan pertanian, ternakan sosioekonomi penduduk Batang Ai
Assim Hassan
Disember 2, 2021 12:58 MYT
Disember 2, 2021 12:58 MYT
LUBOK ANTU: Pembangunan sektor pertanian dan ternakan ikan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai akan menjadi antara fokus utama bagi mengangkat sosioekonomi penduduk di kawasan itu.
Penyandang DUN Batang Ai, Datuk Malcolm Mussen Lamoh berkata, bagaimanapun penglibatan pelabur dan sektor swasta selain teknologi terkini akan dilibatkan dalam pembangunan sektor itu.
Ini katanya penting dalam memberi pendedahan kepada penduduk setempat sekali gus tidak hanya menunggu peluang disediakan kerajaan.
"Saya melihat kepada konsep 3P iaitu kerjasama masyarakat dan pihak swasta dalam membawa dana atau peruntukan di sesuatu kawasan di DUN Batang Ai.
"Masyarakat boleh menikmati peluang ini dengan mengembangkan pengeluaran tanaman dan ternakan mereka menerusi teknologi terkini yang disediakan oleh pihak swasta yang juga pelabur," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Tambah Mussen, kaedah teknologi dalam aspek pengeluaran, pemasaran, pembungkusan juga penggredan mengikuti spesifikasi antarabangsa akan mengangkat kualiti serta meningkatkan harga produk yang dihasilkan.
Selain itu, jelasnya, dalam usaha meningkatkan sosio ekonomi rakyat, aspek pemuliharan alam sekitar perlu diberi perhatian memandangkan kawasan Batang Ai kaya dengan khazanah alam.
"Dalam kita melihat kepada teknologi sebagai contoh kita ingin membangunkan penanaman buluh dan kelapa sawit... kita boleh menggunakan bahan buangan (waste produk) sebagai tenaga dan juga baja.
"Hal ini bukan sahaja kita fokus kepada sosio ekonomi penduduk tetapi juga pemuliharan alam sekitar," katanya.
Menerusi Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), DUN Batang Ai juga akan terlibat dalam projek pembangunan yang mampan dan hoslitik.
Pelan pembangunan berteraskan kesejahteraan rakyat dan kelestarian ekonomi ini menekankan enam fokus strategik yang bakal dibangunkan SADA dengan matlamat, bahagian Sri Aman ini menikmati arus dan agenda pembangunan.
Malah, pelan pembangunan pertanian, telah merencana pelbagai projek pertanian komersial yang berimpak tinggi di kawasan ini.
Pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak kali ini, seramai 9,929 pengundi berdaftar di kawasan DUN Batang Ai.