PRN Sarawak: Pembangunan infrastruktur asas Belaga perlu dipertingkat - Penduduk

Syafik Shukri Jalil
November 27, 2021 21:32 MYT
Pembangunan infrastruktur di Belaga perlu dipertingkatkan bagi memastikan masyarakat di sini merasai nikmat pembangunan sama seperti di kawasan-kawasan lain. - Foto Astro AWANI
BELAGA: Pembangunan infrastruktur di Belaga perlu dipertingkatkan bagi memastikan masyarakat di sini merasai nikmat pembangunan sama seperti di kawasan-kawasan lain.
Antara yang wajar dipertimbangkan adalah melebarkan jalan raya sepanjang lebih 30 kilometer yang merupakan akses masuk utama ke Belaga.
Ini kerana menurut Penghulu Masyarakat Cina Belaga, Peter Hoo Che Ham, ia menyukarkan pergerakan kenderaan dua hala yang ingin keluar dan masuk ke Belaga.
“Banyak sudah yang dibangunkan untuk kesejahteraan masyarakat di sini tetapi satu yang perlu dinaik taraf adalah jalan raya.
“Jalan raya itu memang bagus kualitinya dan selesa digunakan tetapi kelebarannya tidak cukup besar.
“Ini menyebabkan jika ada kenderaan dari arah bertentang, kita (pemandu) kena ke bahagian tepi jalan, jadi wajar untuk dipertimbangkan,” katanya.
Seterusnya bagi Lattif Mohamad Lair, dia mengharapkan agar akses jalan raya menghubungkan Nanga Merit ke Belaga dapat dibangunkan.
Ini khusus bagi membantu mereka yang tinggal di kawasan pedalaman meningkatkan pendapatan ekonomi mereka.
“Saya mengharapkan satu akses jalan raya dapat dipertimbang dan dibina bagi menghubungkan daerah kecil Nanga Merit untuk ke pekan Belaga.
“Kalau ada jalan raya ini, ia bukan sahaja memudahkan akses buat mereka malah akan membantu mempertingkatkan pendapatan ekonomi mereka di sana,” tambahnya.
Manakala bagi Ketua Masyarakat Kaum Kejaman, Jackson Kubang Luring, perkhidmatan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) juga perlu diperbanyakkan memandangkan hanya satu mesin ATM yang disediakan di sini.
“Setakat ini hanya ada bank beroperasi iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan ini menyukarkan urusan penduduk di sini.
“Pada ketika COVID-19 melanda tempoh hari, ia lebih menyukarkan kami semua, jadi kalau boleh ditambah perkhidmatan ini sekurang-kurangnya dua atau tiga lagi,” ujarnya.
#Belaga #Peter Hoo Che Ham #pembangunan infrastruktur #jalan raya
;