PRN Sarawak: Pasar Tamu di Kapit dibenar beroperasi setiap hari bermula 19 November
Syafik Shukri Jalil
November 18, 2021 14:51 MYT
November 18, 2021 14:51 MYT
KAPIT: Semua pasar tamu di bawah Majlis Daerah Kapit kini kembali dibenarkan beroperasi setiap hari bermula 19 November 2021 bermula jam 6 pagi sehingga 6 petang.
Menerusi kenyataan Majlis Daerah Kapit, kebenaran turut melibatkan operasi Market Teresang, Night Street Market, Pasar Basah Song, Jungle Produce Market Song, Tamu Belaga dan Tamu Sungai Asap.
Tambah kenyataan itu, keputusan dicapai selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Kapit pada 17 November 2021.
Perkara itu turut disahkan Pegawai Daerah Kapit, Cerisologo Sabut ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
‘’Ya benar, pengoperasian kini kembali seperti biasa dan kita (Majlis Daerah Kapit) mengharapkan agar segala pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 dilaksanakan dengan baik,’’ katanya.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan keluhan peniaga yang mahukan system penggiliran melibatkan operasi perniagaan dimansuhkan.
Ini kerana sebelum ini, mereka hanya dibenarkan beroperasi empat hari seminggu iaitu pada Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad bermula jam 6 pagi sehingga 2 petang.
Langkah ini diambil mengekang penularan COVID-19 dalam kalangan peniaga dan pelanggan seterusnya mengelakkan penularan lebih besar berlaku.
PRN Sarawak | Peniaga pasar pagi mahu waktu operasi dipanjangkan