PRN Sarawak: Masyarakat impikan perkhidmatan bas, mampu tarik pelancong ke Kapit
Syafik Shukri Jalil
November 11, 2021 09:26 MYT
November 11, 2021 09:26 MYT
KAPIT: Selepas siapnya projek jalan raya menghubungkan laluan dua hala dari Sibu ke Kapit sekitar Oktober tahun lalu, akses tersebut nyata memudahkan urusan penduduk terutamanya di Kapit.
Bukan sahaja menjimatkan masa, malah laluan sepanjang 101 kilometer itu merupakan akses penting menghubungkan Sibu dan Kapit.
Untuk itu dengan siapnya kemudahan tersebut, warga Kapit mengimpikan agar pengoperasian perkhidmatan bas henti-henti atau bas ekspres dapat beroperasi di sini.
Dengan adanya perkhidmatan ini, penubuhan sebuah terminal bas juga boleh dipertimbang sekali gus mampu menarik lebih ramai pelancong mengenali keunikkan Kapit dan membantu melonjakkan pendapatan dan sektor ekonomi penduduk.
Menurut Rachman Seta, selepas siapnya jalan raya itu, Kapit sering menjadi tumpuan masyarakat luar dan idea mewujudkan pengoperasian bas di sini merupakan satu langkah strategik jangka panjang.
“Sekarang ini, ramai orang luar yang selalu datang ke Kapit atas pelbagai urusan.
“Saya berpendapat memang perlu ada perkhidmatan bas di sini.
“Antara lain ia membantu juga meringankan beban penduduk kerana dengan adanya bas, penduduk hanya akan membayar kadar tambang berpatutan untuk ke Sibu dan bandar-bandar lain,” katanya.
Selain itu, bagi Muhammad Haziq Taqiuddin Rezuwan yang baru menetap di pekan itu berpendapat, cadangan itu tidak mustahil direalisasikan.
Ini kerana Kapit merupkan sebuah penempatan yang unik dan dengan banyak projek pembangunan yang dirancang, Kapit pasti akan terus menjadi tumpuan.
“Tidak mustahil untuk direalisasikan idea tersebut kerana saya berpendapat jalan raya sudah siap, sangat selesa melalui jalan tersebut.
“Jadi kalau ada infrastruktur yang bagus, tidak mustahil untuk adakan perkhidmatan bas di sini.
“Kapit pasti akan terus membangun dan menjadi pusat aktiviti ekonomi yang terus berkembang seperti bandar-bandar besar lain,” ujarnya.
Manakala bagi Neni Peter Gon, kemudahan itu pasti akan memudahkan warga Kapit yang sering ke Sibu untuk pelbagai urusan harian.
“Bagus juga kalau ada bas sebab jalan memang cantik dan sangat selesa.
“Kalau sekarang perkhidmatan van juga disediakan, jadi adalah tidak mustahil untuk bas menyediakan perkhidmatan di sini.
“Ini juga bantu mempromosi Kapit dan menarik ramai pelancong datang,” katanya lagi.
Terdahulu, projek pembinaan jalan raya menghubungkan Sibu ke Kapit sepanjang 101 kilometer itu siap sepenuhnya sekitar Oktober tahun lalu.
Dengan siapnya jalan baharu yang menelan kos RM752 juta itu menjadikan perjalanan tanpa henti dari Sibu ke Kapit kini hanya mengambil masa sekitar dua jam berbanding, tiga jam menggunakan laluan sungai.