PRN Sarawak: Masalah pada kaki bukan penghalang jadi pengundi pertama

Hasimi Muhamad
Disember 14, 2021 16:11 MYT
Affandi tetap bersemangat apabila menjadi individu pertama selesai membuang undi di Pusat Mengundi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Simunjan, hari ini. - Astro AWANI
SIMUNJAN: Berbeza empat puluh tahun lalu, pesara polis, Koperal Affandi Ismail, 61, segak memakai pakaian seragam setiap kali hadir menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada pilihan raya.
Namun, sejak tiga tahun lalu, bapa kepada enam cahaya mata itu telah diberikan kebenaran untuk tidak memakai uniform polis berikutan masalah pada bahagian kaki kanan yang dialaminya.
Pun begitu, Affandi tetap bersemangat apabila menjadi individu pertama selesai membuang undi di Pusat Mengundi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Simunjan, hari ini.
“Perasaan saya sungguh berkobar walaupun dalam keadaan macam ini sebab tidak dapat pakai uniform kerana ada masalah pada kaki.
“Ia (masalah pada kaki) macam jangkitan kuman di sebelah kanan. Saya jalani pembedahan pada 2018, dan selepas itu tidak boleh pakai uniform (dibenarkan),” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Selasa.
Affandi yang baru 50 hari bersara sebagai anggota polis berkata, beliau tiba di pusat mengundi tersebut sekitar 7 pagi.
Beliau yang berkhidmat selama 40 tahun dalam cawangan semboyan menambah, suasana Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak kali ini tidak jauh berbeza dengan sebelum ini.
Ini kerana katanya, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kalangan pengundi awal telah diamalkan sejak sekian lama, cuma berbeza kali ini ia disebabkan pandemik COVID-19.
“Tiada banyak perbezaan… dulu SOP juga ketat memang ada jarak walaupun keadaan ketika itu masih okay. Namun kali ini, sebab COVID-19 memang kena ada penjarakan,” ujarnya, yang sudah tiga kali mengundi di IPD Simunjan.
Sementara itu, Koperal Nora Alup, 42, pula berkata, PRN12 Sarawak merupakan pengalaman keempat buatnya sebagai pengundi awal.
Berkhidmat 22 tahun sebagai anggota polis, ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, SOP yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga disifatkan tidak menyukarkan proses pengundian.
“Semua (proses pengundian awal) berjalan lancar dan tidak lama. Lebih kurang 15 minit, sudah selesai,” ujarnya.
Seramai 112 pengundi awal yang terdiri daripada polis dan pasangan mengundi awal di Pusat Mengundi IPD Simunjan.
Daripada jumlah tersebut, seramai 111 melibat pengundi awal bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan, manakala seorang lagi di bawah DUN Gedong.
#PRN Sarawak #undi awal #Sarawak Memilih #Koperal Affandi Ismail #IPD Simunjan #polis #pilihan raya negeri #Koperal Nora Alup
;