PRN Sarawak: Kolej kemahiran wajar diwujudkan di pedalaman - Belia Pelagus
Syafik Shukri Jalil
November 16, 2021 10:20 MYT
November 16, 2021 10:20 MYT
PELAGUS: “Bangunkan kolej vokasional bagi memperkasa kemahiran warga belia di pedalaman”.
Itu harapan dua anak muda yang menetap di Rumah Naga Merating, Sungai Bena Sut di Pelagus.
Ketika ditemui Astro AWANI, mereka menyatakan dengan adanya fasiliti tersebut, ia bukan sahaja mampu melahirkan belia berkemahiran tinggi, malah membantu menjimatkan kos pengajian.
Menurut Christy Naga, pengalamannya menuntut di sebuah kolej swasta di Kuching hingga memerlukan kos yang tinggi dan menyebabkan tidak ramai yang mampu menyambung pengajian.
“Jika ada kolej vokasional di kawasan kami ini, ia nyata dapat membantu pelajar untuk menyambung pengajian dan tidak jauh daripada ibu dan bapa.
“Untuk itu kos juga dapat dijimatkan sebab saya dahulunya pernah menuntut di sebuah kolej swasta di Kuching, saya tahu kosnya agak tinggi,” katanya.
Sementara bagi Augustine Mangom, idea tersebut amat wajar dipertimbangkan kerana tidak semua pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mampu meraih keputusan yang cemerlang.
Justeru, dengan penubuhan kolej vokasional, ia akan dapat membantu belia yang tidak dapat menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta untuk mendalami bidang kemahiran.
“Bukan semua pelajar mampu memperoleh keputusan yang cemerlang dan ditawarkan ke institut pendidikan yang lebih baik untuk menyambung pendidikan.
“Jadi bagi mereka yang tidak mempunyai peluang itu, kolej vokasional adalah pilihan terbaik untuk mereka, jadi bagi saya baguslah sekiranya ia dapat ditubuhkan di sini,” ujarnya.
Perkara itu kami panjangkan kepada penyandang kerusi DUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang.
Katanya mewujudkan sebuah kolej vokasional di DUN Pelagus merupakan antara agenda utama yang dirancang sekiranya dicalonkan seterusnya diberi mandat untuk mempertahankan kerusi DUN tersebut.
“Dalam rancangan saya kalau saya dipilih semula untuk jadi wakil rakyat di kawasan ini, saya memang ada perancangan untuk membangunkan sebuah kolej vokasional di sini.
“Ini kerana saya ingin memfokuskan kepada pembangunan kemahiran anak muda dan kita tahu bagi mereka yang memperoleh keputusan cemerlang, mereka semestinya senang mendapat tawaran bagi menyambung pengajian.
“Tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak memperoleh keputusan yang baik dan tidak punya pilihan,” katanya.
Wilson daripada Parti Rakyat Sarawak (PRS) mencatat kemenangan dalam persaingan tiga penjuru apabila memperoleh 3,778 undi pada PRN11 yang lalu.
Beliau yang menggunakan tiket Barisan Nasional (BN) menewaskan calon DAP, Bendindang Manjah yang memperoleh 494 undi manakala calon BEBAS, Yong Sibat dengan 321 undi.