PRN Sarawak: Kerajaan tidak ambil tanah NCR secara percuma - Awang Tengah

Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 10, 2021 12:02 MYT
Kata Awang Tengah (gambar) proses pengukuran tanah NCR dilakukan Jabatan Tanah dan Survie (JTS) Sarawak mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
PAKAN: Pelan Pembangunan untuk memajukan kawasan pedalaman di Sarawak akan terus diperkasa menerusi Program Pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan, proses pengukuran tanah NCR dilakukan Jabatan Tanah dan Survie (JTS) Sarawak mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
"Saya harap kerjasama yang baik antara penduduk bagi melancarkan usaha dan Pelan Strategik Pembangunan Sosio Ekonomi di kawasan-kawasan pedalaman.
"Kerajaan tidak akan mengambil tanah-tanah secara percuma sebaliknya pampasan akan diberikan kepada pemilik tanah. Malah pengukuran tanah itu juga adalah untuk kita melaksanakan projek-projek infrastruktur," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tanah di bawah Sekysen 18 KTN di Dewan Masyarakat Pakan pada Khamis.
Setakat 30 September 2021, JTS Sarawak telah melakukan penyukatan lebih 2 juta ekar tanah NCR.
Ia termasuk lebih 100,000 lot kampung tradisional dan individu di bawah Seksyen 18 KTN melibatkan kawasan seluas lebih 140,000 ekar.
#Awang Tengah Ali Hasan #pedalaman sarawak #Tanah adat #pengukuran Tanah
;