PRN Sarawak: Kemenangan GPS, petanda rakyat mahu kerajaan yang kukuh - Penganalisis
Madiha Abdullah
Disember 19, 2021 08:15 MYT
Disember 19, 2021 08:15 MYT
KUALA LUMPUR: Manifesto yang diperjuangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat menjadi salah satu daya penarik yang membawa kepada kejayaan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Penganalisis politik Prof Dr Hamidin Hamid berpendapat, kelebihan itu memberi keyakinan kepada rakyat tentang kemampuan GPS membina sebuah kerajaan negeri yang kukuh dan mampu memperjuangkan kedudukan mereka di peringkat kerajaan pusat.
Katanya, slogan 'Sarawak First' yang dibawa GPS ternyata memberi keyakinan kepada rakyat bahawa keperluan dan kepentingan mereka akan didahulukan.
Faktor PRN yang berlangsung semasa pandemik dan membuatkan kempen tidak boleh dijalankan, memberi kelebihan kepada parti pemerintah memandangkan mereka mempunyai struktur yang lebih jelas.
"Walaupun GPS kali pertama bertanding dengan jenama sendiri, keutuhan mereka jelas. Mereka wakili BN di Sarawak, walaupun sekadar jenama sahaja tapi ia kekal di peringkat akar umbi.
"Dengan slogan Sarawak First, mereka guna wave (gelombang) perubahan politik semasa dan berjaya menangkap imaginasi pengundi termasuk di bandar," katanya ketika muncul dalam Agenda AWANI khas sempena PRN Sarawak semalam.
Tambah Hamidin, berlaku perubahan pemikiran dalam konteks hubungan kerajaan pusat dan negeri yang menjadi tunjang untuk memikat hati pengundi termasuk golongan bandar yang sebelum ini skeptikal dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).
Situasi PRN ini, ujarnya, boleh juga dilihat sebagai satu bentuk hukuman terhadap apa yang berlaku di peringkat nasional khususnya berkaitan dengan DAP dan pengundi Cina.
Namun, ia bukanlah hukuman bersifat total, kerana katanya, pemacu utama ialah, manifesto dan slogan GPS lebih menarik dan diterima rakyat.
"Bagaimana wave ini hendak dikekalkan penting untuk difikirkan dalam konteks branding dan politik.
"Sejauh mana perubahan yang mahu melihat sesuatu yang lebih jelas dalam konteks dinamika hubungan negeri dan pusat.
"Ini retorik politik satu hal, dalam masa sama kita dapati akan berlaku rundingan, dan akan nampak pengakhirannya, sejauh mana GPS berjaya bertahan.
"Kedua, sejauh mana DAP boleh bangkit. Saya rasa ini hukuman juga terhadap apa yang berlaku di peringkat nasional.
"Walaupun Sarawak ada autonomi, tetapi apa yang berlaku di peringkat nasional, contohnya Melaka, (ada) penolakan pengundi Cina.
"Malah, kedudukan DAP dalam PH sendiri buatkan ia jadi satu tanda tanya, membuatkan pengundi tertanya-tanya kedudukan mereka," katanya lagi.
Semalam, GPS mencatat kemenangan besar 76 kerusi dalam PRN Sarawak ke-12, sekali gus mengatasi 72 kerusi yang diraih Barisan Nasional pada PRN11 2016.