PRN Sarawak: Jambatan sementara Nanga Merirai siap Disember ini - Ugak Kumbong

Syafik Shukri Jalil
November 12, 2021 08:52 MYT
Jambatan sementara itu penting bagi membolehkan penduduk Nanga Merirai membuat perjalanan ke Kapit sebelum jambatan sebenar siap sepenuhnya pada Jun 2022.
BALEH: Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong menggesa kontraktor terlibat dengan projek pembinaan Jambatan Sungai Merirai untuk menyiapkan jambatan sementara selewat-lewatnya Disember depan.
Menurutnya, jambatan sementara itu penting bagi membolehkan penduduk Nanga Merirai membuat perjalanan ke Kapit sebelum jambatan sebenar siap sepenuhnya pada Jun 2022.
“Perlu ada jambatan sementara dan pihak kontraktor memaklumkan jambatan sementara akan siap pada bulan depan. Saya percaya inilah keluhan rakyat dan kita dipilih sebagai wakil rakyat perlu menjadi suara mereka.
“Ini kerana projek ini merupakan keprihatinan kerajaan kepada rakyat dan akan mampu memanfaatkan ribuan warga Nanga Merirai dan Baleh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat daripada pihak kontraktor selepas melakukan tinjauan projek Jambatan Sungai Merirai di Baleh pada Khamis.
Projek sepanjang 4.5 kilometer bernilai RM89 juta dibawah pakej C1 ini dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun 2022.
Projek ini juga merangkumi pembinaan jalan raya sebagai akses ke Empangan Hidroelektrik Baleh.
Namun pembinaannya tertangguh atas beberapa faktor antaranya kelemahan pengurusan pihak kontraktor, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu dan faktor cuaca yang tidak menentu.
Tambah Ugak dengan siapnya projek Jambatan Sungai Merirai itu kelak, ia akan membantu mengurangkan tempoh perjalanan warga Nanga Merirai ke Kapit dengan hanya satu jam berbanding tiga jam dengan pengangkutan air.
“Jadi kita mahu membantu warga Nanga Merirai untuk ada akses lebih mudah selain membolehkan mereka mencipta peluang ekonomi dengan siapnya projek ini.
“Mereka juga boleh membawa hasil pertanian ke Kapit dan ini sangat-sangat memberi manfaat yang besar buat mereka,” tambahnya.
Terdahulu, Projek Jalan Akses Baleh dibahagiakan kepada tiga pakej merangkumi Pakej A,B dan C, masing-masing sepanjang 36 kilometer, 14 kilometer dan 22 kilometer, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 77 kilometer.
Antara projek terlibat dalam Pakej C termasuk pembinaan jalan dan Jambatan Sungai Merirai, Jambatan Sungai Entalawan dan Jambatan Sungai Sepanggil.
Projek pembinaan Jambatan Sungai Merirai ini juga merupakan antara inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA) bagi membangunkan kawasan Ulu Rajang.
Inisiatif ini antara lain bagi mempercepatkan pembangunan di kawasan koridor tenaga diperbaharui Sarawak (SCORE) bermula 2019.
#PRN Sarawak #Nanga Merirai #Jambatan Sungai Merirai #Infrastruktur luar bandar #Baleh #DUN Baleh #Hulu Rajang
;