PRN Sarawak: Harapan penduduk Gedong kepada Abang Johari

Hasimi Muhamad
Disember 13, 2021 09:51 MYT
Ismawi (kiri) dan Ali (kanan) meletakkan harapan tinggi kepada kepimpinan Abang Johari, khususnya selepas Gedong dinaiktaraf sebagai daerah baharu. - Astro AWANI
GEDONG: Kehadiran Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebagai calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong disifatkan sebagai 'hadiah' pembangunan awal kepada penduduk setempat.
Selain pembangunan infrastruktur, pemimpin nombor satu Sarawak itu diharap membawa limpahan kemajuan di DUN Gedong.
Penduduk yang ditemui Astro AWANI menzahirkan keyakinan bahawa Ketua Menteri Sarawak itu mampu meneruskan pembangunan yang dilaksanakan oleh bekas Ahli Dewan Undangan (ADUN) Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais.
Menurut Ketua Kampung LOT RGC Fasa 2, Gedong, Ismawi Harmi, 48, pemerkasaan sosioekonomi penduduk dan peluang pekerjaan kepada belia dijangka dapat ditingkatkan di bawah pimpinan Abang Johari.
Ini kerana Abang Johari sememangnya terkenal dengan idea dan usahanya dalam membangunkan Bumi Kenyalang.
“Kita harapkan pembangunan yang lebih rancak dan cepat… itu yang kita perlukan. Kita bersyukur juga kerana YB Ketua Menteri (Abang Johari) sebagai calon di DUN Gedong.
“Inilah yang kita tunggu, yang dulu bukan tidak membangun, tetapi kita nak yang lagi cepat membangun. Alhamdulillah Ketua Menteri menyambut tawaran daripada bekas ADUN kita (Mohd Naroden),” katanya ketika ditemui, di sini.
Sementara itu, penduduk, Ali Bujang, 57, berkata, pelbagai kemudahan akan dikecapi oleh penduduk khususnya selepas Gedong dinaiktaraf sebagai daerah baharu.
“Sudah semestinya apabila menjadi sebuah daerah banyak kemudahan untuk penduduk kampung yang akan ada nanti.
“Jadi, bukan sahaja kemudahan, malah pada masa akan datang, kita amat mengharapkan kemajuan di Gedong akan lebih membangun untuk generasi-generasi akan datang.
“(Sebagai contoh), kita boleh membawa institusi-institusi pendidikan seperti CENTEXS, Giat Mara, dan lain-lain untuk generasi akan datang,” ujarnya.
Senada dengan Ali, pesara, Iskandar Mardan, 72, berkata pengiktirafan Gedong sebagai daerah sememangnya dinanti-nanti oleh penduduk.
“Jadi jika Gedong dinaikkan jadi daerah, orang-orang yang berurusan dengan pejabat daerah dan sebagainya akan senang kerana dekat.
“Sebelum ini, kita terpaksa pergi ke Simunjan, Serian, atau Kuching… dengan adanya Gedong sebagai daerah, semua kemudahan itu ada di sini,” katanya.
Bagi petani, Jaidah Abdullah, 56, pula sebagai penduduk, dia mengharapkan seorang pemimpin yang berwawasan dan berwibawa bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
“Macam kami sebagai penduduk di sini, kita memang mengalu-alukan dan mengharap sangat dengan pemimpin yang berdedikasi, berintergiriti, dan memberikan komitmen kepada rakyat.
“Di kawasan ini dulu agak terpencil, apabila kawasan kita dinaiktaraf kepada daerah, kita memang rasa berharap sangat dari segi kemajuan, pertanian serta Pendidikan,” ujar Jaidah.
Pada PRN12, Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpindah dari DUN Satok yang diwakili sejak 40 tahun lalu, ke DUN Gedong.
Mohd Naroden, yang merupakan bekas penyandang kerusi tersebut memberi laluan kepada Abang Johari bagi mempercepatkan usaha pembangunan di kawasan luar bandar.
Abang Johari akan ditentang tiga calon muka baharu daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) Mohamad Sofian Fariz Sharbini, Parti Amanah Negara (Amanah), Kamal Bujang dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), Tomson Ango pada 18 Disember ini.
#PRN Sarawak #Abang Johari #pembangunan Sarawak #DUN Gedong
;