PRN Sarawak: Fazzrudin mengundi di SK Petra Jaya
Assim Hassan
Disember 18, 2021 09:24 MYT
Disember 18, 2021 09:24 MYT
KUCHING: Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazzrudin Abdul Rahman tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Petra Jaya di sini bagi menunaikan tanggungjawab membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Beliau yang tiba jam 8.50 pagi membuang undi di Saluran 2 di pusat daerah mengundi tersebut.
Seramai 1,068 pengundi akan menunaikan tanggungjawab di tiga saluran mengundi yang dibuka di pusat mengundi di sini.
Seramai 300 pengundi mendaftar untuk Saluran 1 manakala masing-masing 384 bagi Saluran 2 dan 3.
Bagi PRN12 kali ini, Fazzrudin yang merupakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong berdepan dua pencabar iaitu Ahmad Nazib Johari daripada PKR dan Chang Haong Yen daripada PBK.
Seramai 26,004 pengundi berdaftar layak untuk mengundi bagi memilih wakil rakyat DUN Tupong.
Manakala 1,068 pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mengundi di Pusat Mengundi SK Petra Jaya hari ini.
SARAWAK MEMILIH: Dapatkan keputusan terkini sepanjang kempen PRN Sarawak 2021 di sini