PRN Sarawak: CENTEXS Lundu manifestasi impian Allahyarham Tok Nan - Isteri
Hasimi Muhamad
Disember 1, 2021 12:11 MYT
Disember 1, 2021 12:11 MYT
LUNDU: Pembinaan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lundu salah satu manifestasi impian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu dalam nada sedikit sebak berkata, beliau sedih kerana Allahyarham suaminya itu tidak berkesempatan melihat sendiri impiannya direalisasikan.
Allahyarham Adenan meninggal dunia pada 11 Januari 2017.
“Banyak lagi impian Allahyarham yang tidak kesempatan untuk dilihat.
“Namun, saya amat bersyukur segala impian Allahyarham menjadi kenyataan.
“Ini kerana wujud kesinambungan pemimpin ke arah halatuju pembangunan yang sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian CENTEXS Lundu, di sini.
Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Jelas Jamilah, pembangunan kampus CENTEXS Lundu bernilai RM89 juta itu adalah yang terbesar selepas kampus induk di Santubong.
Dalam masa yang sama, beliau berharap pembinaan kampus tersebut mampu menyediakan kursus-kursus yang diperlukan oleh pasaran tempatan, khususnya untuk pembangunan Sarawak.
“Sambil kita memandang jauh tentang kursus-kursus berasaskan telekomunikasi, digital, serta minyak dan gas, saya juga berharap kursus pertukangan asas seperti pembuatan perabot, juga dapat diperkenalkan.
“Tetapi, ia menggunakan teknologi terkini seperti Computer Generated Woodworking,” ujarnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Jamilah menzahirkan keyakinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Abang Johari akan menang besar pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak pada 18 Disember ini.
“Keyakinan ini bukannya tidak rasional dan semata-mata omong kosong sahaja, tetapi atas pengamatan yang mendalam tentang ‘track record’ yang telah ditunjukkan oleh kerajaan GPS,” ujarnya.
CENTEXS Lundu bakal menawarkan 17 program latihan dan kini seramai 185 pelatih sedang menjalani latihan termasuk dalam bidang fesyen teknologi dan hospitaliti.
Ia boleh menempatkan 800 pelatih, dengan tujuh bilik kuliah dan 14 bengkel.
Fokus utama program latihan di kampus tersebut adalah berbentuk pelancongan dan hospitaliti.
CENTEXS mempunyai enam cawangan di seluruh Sarawak.
#PRN Sarawak
#Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak CENTEXS
#Datuk Amar Jamilah Anu
#Tan Sri Adenan Satem