PRN Sarawak: Capaian internet, lagi cepat lagi bagus - Warga Kapit
Syafik Shukri Jalil
November 10, 2021 11:39 MYT
November 10, 2021 11:39 MYT
KAPIT: Peningkatan capaian internet antara yang diidamkan penduduk di pekan Kapit dan diharap dapat diatasi sebaiknya.
Dengan capaian internet yang baik, ia bukan sahaja membantu memudahkan urusan komunikasi malah mampu melicinkan urusan warga pekan itu terutama mereka yang terlibat dengan sektor perniagaan.
Menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), hasrat ini disuarakan kepada Astro AWANI menerusi tinjauan yang dilakukan pada Rabu.
Menurut seorang peniaga telefon bimbit, Jerry Wong berkata, dia tidak berdepan dengan sebarang masalah sepanjang menetap di pekan itu namun hanya mengharapkan kelajuan internet terus dipertingkat.
"Bagi peniaga seperti saya, ada sedikit kesukaranlah tetapi bukan setiap masa kami berdepan masalah ini, adakalanya ia berada pada kelajuan yang memuaskan.
“Saya tiada masalah dengan perkara lain buat masa ini, cuma saya mahukan masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya.
Senada dengan Jerry ialah seorang warga Kapit, Penny Philip Ujan yang sangat mengharapkan satu perancangan terbaik disusun atur dalam menyelesaikan masalah ini.
“Kalau masalah line (capaian) kadang-kadang tiada masalah tetapi apabila hujan, itu masalah buat saya.
“Jadi harapan saya kepada kerajaan supaya prihatin dengan masalah ini dan carilah penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah ini,” luahnya.
Sementara bagi Jeffrey Nugong yang juga warga Kapit menyifatkan gangguan masalah capaian ini menyukarkan pelajar terutama mereka yang masih perlu menjalankan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PDPR).
Malah masalah ini turut menjejaskan urusan-urusan lain.
“Harapan saya hanya satu agar masalah ini diambil perhatian sepenuhnya dan mencari penyelesaian sebaik mungkin.
“Sekarang ramai yang perlu menjalani PDPR dan kalau ada capaian yang cemerlang, pastinya ia akan terus memabntu memudahkan urusan warga pekan ini," ujarnya lagi.
Kapit merupakan penempatan bagi 138,100 penduduk dengan aktiviti ekonomi utama adalah pertanian dan menempatkan dua empangan hidroelektrik; empangan Murum dan Bakun yang menyumbang 70 peratus bekalan tenaga ke seluruh negeri Sarawak.