PRN Sarawak: Belia Belaga mahu kerajaan bangunkan pusat aktiviti anak muda
Syafik Shukri Jalil
November 30, 2021 20:42 MYT
November 30, 2021 20:42 MYT
BELAGA: Pembangunan fasiliti seperti pusat aktiviti anak muda khusus di kawasan Belaga wajar dipertimbangkan oleh kerajaan.
Ini kerana ketika ini tiada pusat khusus disediakan bagi membolehkan golongan belia untuk bersukan dan menjalankan aktiviti-aktiviti lain.
Menurut Pengerusi Kelab Belia Kubu Pekan Belaga, Nichol Agoi, cadangan ini perlu dikaji dan direalisasikan memandangkan banyak kawasan lain di Sarawak sudah memiliki fasiliti tersebut.
‘’Saya sangat mengharapkan agar pembinaan kompleks serbaguna untuk belia di Belaga dapat dipertimbangkan.
‘’Pembangunan ini mungkin melibatkan stadium, padang futsal, padang bola dan stadium balapan seperti di daerah-daerah lain.
‘’Sekiranya dapat dibangunkan, saya yakin aspek pembangunan sosial belia di sini akan berlaku dengan baik,’’ katanya menerusi slot khas Sarawak Memilih pada Selasa.
Selain itu, Nichol juga berharap agar belia di Belaga terus diberi peluang untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan melalui pembukaan bazar, pasar malam dan sebagainya.
''Tebingan sungai sudah dibina di sini dan pemandangan pada sebelah malam sangat cantik dan saya berharap agar pihak berkuasa boleh menyediakan tapak yang sesuai untuk mereka mula berniaga.
''Mereka mungkin boleh berjinak-jinak dengan memulakan penjualan makanan seperti burger dan sebagainya,'' ujarnya.
Antara lain, sebuah pusat latihan perindustrian juga diharap dapat dibangunkan bagi membuka peluang belia di kawasan itu mendalami bidang kemahiran serta kursus teknikal.
Jelasnya, ia bukan sahaja mampu merancakkan pembangunan di pekan Belaga malah mampu melahirkan belia yang memiliki kemahiran yang tinggi dalam bidang-bidang tertentu.
Sarawak Memilih: Perkasa pembangunan belia di Belaga
“Kami juga mengharapkan agar satu pusat latihan perindustrian dapat dibina di daerah Belaga untuk mengembangkan serta merancakkan lagi peluang pembelajaran anak muda di kawasan ini.
‘’Jika fasiliti ini dapat disediakan, saya pasti bilangan anak muda yang kekal di sini akan meningkat dan pastinya ia juga mampu menjadi tumpuan orang luar.
‘’Dengan tawaran kursus yang baik, anak-anak muda dari luar juga akan tertumpu di daerah ini,’’ tambahnya.