PRN Sarawak: Bekalan elektrik penuh ke seluruh negeri menjelang 2025
Syafik Shukri Jalil
November 26, 2021 22:33 MYT
November 26, 2021 22:33 MYT
BINTULU: Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Seri Stephen Rundi Utom menyifatkan sasaran kerajaan negeri untuk mencapai bekalan elektrik penuh ke seluruh bahagian di negeri itu akan mampu dicapai menjelang 2025.
Ini kerana ujarnya, capaian elektrik di negeri itu sudah mencapai 97 peratus dan hanya berbaki tiga peratus, agenda itu akan mampu direalisasikan.
“Kalau di bandar bekalan elektrik sudah mencapai 99 peratus tetapi di luar bandar bekalan sudah mencapai 97 peratus. Maka dengan hanya tiga peratus baki ketika ini, pastinya ia sebagai sasaran yang realistik,” katanya.
Stephen yang juga merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena berkata demikian semasa ditemui Astro AWANI di Bintulu pada Jumaat.
Tambahnya, pencapaian itu tidak mudah kerana kerajaan negeri terpaksa membuat perancangan teliti bagi menghubungkan bekalan elektrik di kawasan luar bandar yang masih belum ada akses jalan raya sepenuhnya.
“Kita membuat satu perancangan berteraskan inisatif yang sesuai. Untuk bekalan elektrik kita menggunakan sambungan secara grid dan bagi kawasan yang tiada sambungan jalan raya sepenuhnya kita menggunakan sistem solar.
“Inisiatif ini dibawah program SARES (Skim Bekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar) dan nyata telah berjaya menyurkan bekalan elektrik khusus di kawasan luar bandar,” tambahnya lagi.
Katanya lagi, inisiatif SARES juga berhasil memperoleh pengiktirafan di peringkat antarabangsa selepas menerima Anugerah ARE 2018 bawah kategori kerajaan Afrika, Asia dan Amerika Latin.
Anugerah diterima pada Sidang Kemuncak Pelaburan Akses Tenaga ARE Ke-4 di Catania, Sicily.
Bagaimanapun, Dr Stephen berkata bagi sasaran bekalan air bersih di seluruh kawasan luar bandar di negeri itu, Kementerian Utiliti menjangkakan akan dapat menyediakannya selewat-lewatnya pada 2027.
Ini berdasarkan kekangan geografi di kebanyakan kawasan luar bandar di sana.