PRN Sarawak: Bayar RM1 boleh ronda bandar raya utama di Sarawak

Munirah Mudzamli
November 15, 2021 10:52 MYT
Pelaksanaan kadar rata RM1 untuk perkhidmatan bas henti-henti yang dilaksanakan di bandar-bandar utama di negeri itu memudahkan rakyat.
KUCHING: "Memang memudahkan... meringankan beban rakyat terutama golongan B40 di bandar-bandar termasuk di Kuching,".
Demikian kata pesara Rakawi Bisuni mengenai pelaksanaan kadar rata RM1 untuk perkhidmatan bas henti-henti yang dilaksanakan Kerajaan Sarawak di bandaraya Kuching.
Jelas Rakawi lagi, dengan kemudahan serta tambang kadar rata yang mampu bayar itu memudahkan dia untuk berulang-alik dari Kampung Bako Tengah ke Bandaraya Kuching setiap hari.
Katanya, bukan sahaja ia menjimatkan perbelanjaan hariannya sahaja, namun ia juga sedikit sebanyak membantu meringankan beban pengguna lain untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat.
"Saya pengguna bas sejak tahun 2013 lagi, dahulu tambang dalam lingkungan RM3, dah bila kadar tambang sudah diturunkan kepada RM1, memang memudahkanlah, lagi-lagi untuk orang yang tidak berkemampuan, saya pun setiap hari naik bas pergi ke pasar kalau tidak ke kebun," katanya ketika ditemui oleh pemberita Astro AWANI pada Ahad.
Sementara itu, penjawat awam Zahirin Ahed berkata, dia yang bekerja di Simunjan merasakan perkhidmatan bas dengan kadar rata ini merupakan alternatif buatnya untuk ke Bandaraya Kuching ketika hujung minggu.
Jelasnya, walaupun dia mempunyai pengangkutan sendiri tetapi apabila dengan perkhidmatan ini, dia boleh menjimatkan lagi masa serta perbelanjaan.
"Hari ni saya nak jalan-jalan di pasar, pengangkutan lain memang ada tetapi saya lebih suka jalan dari Simunjan naik bas, dan kadar rata ini memudahkan rakyat, dan saya sendiri berulang-alik, ia amatlah meringankan beban, khususnya ketika musim COVID-19 sekarang," katanya.
Sementara itu, perkhidmatan bas henti-henti tersebut memberi manfaat kepada masyarakat luar yang bekerja di Sarawak.
Bagi pekerja kilang, Etih Patmawati yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia pula, dengan perkhidmatan bas kadar rata ini jelasnya banyak membantu untuk mengawal perbelanjaan pengangkutan.
Dalam masa yang sama, Etih berkata keselamatannya lebih terjamin apabila menaiki bas berbanding dengan e-hailing.
"Saya selalu naik Grab, dan kos pergi dan balik akan mengambil jumlah lebih kurang RM50, jadi kos perbelanjaan satu bulan mungkin memakan sebanyak RM200, dan dengan adanya perkhidmatan bas ini, jauh lebih menjimatkan.
"Sebelum ini naik Grab rasa kurang selamat sebab seorang diri, bila naik bas ada selamat sikit sebab ramai orang," katanya.
Perkhidmatan kadar rata RM1 untuk perkhidmatan bas henti-henti ini tidak mengira jarak perjalanan seperti Kuching-Simunjan dengan jarak kira-kira 80 kilometer.
Pelaksanaan ini telah mula dioperasikan sejak 18 Mei 2020 yang melibatkan empat bandar besar di Sarawak, iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Sarikei.
#PRN Sarawak #bas henti-henti #rakyat tidak terbeban #inisiatif kerajaan Sarawak
;