PRN Sarawak: 50 minit naik bot, kena redah 'benak' demi akses kesihatan
Hasimi Muhamad
Disember 7, 2021 13:37 MYT
Disember 7, 2021 13:37 MYT
LINGGA: Ketiadaan klinik kesihatan di Kampung Banting, Lingga memberi kesulitan kepada penduduk rumah panjang di kawasan tersebut untuk mendapatkan akses kesihatan.
Pilihan yang ada ketika ini adalah penduduk terpaksa menaiki bot ke Pekan Kecil Lingga, yang terletak kira-kira 50 minit dari perkampungan itu.
Harapan mereka cuma satu, iaitu wakil rakyat yang dipilih nanti mampu mempercepatkan usaha menyediakan keperluan asas tersebut bagi kegunaan kira-kira 2,400 penduduk.
Menurut Penghulu Kawasan Banting, Bellie Blassan, selain daripada kemudahan kesihatan, cabaran paling besar yang turut dihadapi penduduk ialah kejadian air pasang atau 'benak' yang tidak menentu memberi risiko kepada keselamatan penduduk.
Keadaan itu berbahaya apabila berlaku kecemasan pada waktu malam.
"Harapan kami di sini disebabkan di (Pusat Pentadbiran) Sri Aman ada Sri Aman Development Agency (SADA), jadi saya berharap melalui SADA, klinik di Banting akan dilaksanakan secepat mungkin.
"Ini kerana kalau tiada klinik, kami masih menghadapi masalah-masalah yang lebih berat sebabkan. Kalau turun ke Pekan Lingga melalui sungai ada banyak masalah. Di sungai ada banyak buaya dan benak. Oleh sebab itu, saya merayu agar pihak kerajaan pusat atau negeri dapat mempercepatkan pelaksanaan klinik di Banting supaya (dapat memberi) faedah dari segi kesihatan," kata Bellie, 72.
Beliau bertanggungjawab menjaga 34 rumah panjang di kawasan Banting.
Lebih memeritkan, ketika ini penduduk di kawasan itu hanya bergantung kepada pengangkutan air
Ada dalam kalangan mereka yang tidak memiliki bot sendiri dan perlu menyewa pengangkutan untuk keluar mendapatkan perubatan.
"Memandangkan klinik kita berada di Lingga, kalau sakit misalnya malam, penduduk sini sangat susah sebab penduduk hanya bergantung kepada (jalan) air.
"Air sungai ini jauh dari sungai lain sebab sini ada benak, dan kalau mahu pergi ke Lingga mesti ikut benak," ujar Tuai Rumah Kampung Bunga Raya, Banting Tengah, Amy Edan, 56.
Amy menambah: "Kalau benak itu belum datang, kita tidak boleh lawan benak sebab sudah ada kejadian (tetapi) bukan di kampung ini, mereka mahu pergi bersalin, dan tiba-tiba di tengah perjalanan, dia kena pukul benak dan terus meninggal dunia. Itu masalah yang besar..."
Sementara, Tuai Rumah Banting Ilir, Jrunsin Rangan, 52, berkata, kehadiran benak juga boleh memberi risiko bot karam.
"Kalau ada sakit susah kerana tengok benak itu, kadang-kadang besar dan mungkin akan berlaku karam," ujarnya.
Justeru, besar harapan mereka agar kemudahan itu dapat dinikmati oleh penduduk kelak, dan mereka tidak lagi perlu bertarung nyawa demi menjaga kesihatan diri.