PRN Sarawak: 4,800 anggota polis dari Semenanjung dan Sabah turut membantu

Bernama
April 19, 2016 14:32 MYT
MUHAMMAD SABTU: Polis negeri telah membuat persiapan untuk menghadapi PRN-11 sejak Februari lepas, dan akan turut dibantu oleh 4,800 anggota polis dari Semenanjung dan Sabah.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan semua aspek keselamatan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan orang ramai sepanjang proses Pilihan Raya Negeri ke-11 di Sarawak yang akan bermula selepas penamaan calon Isnin depan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman berkata polis negeri telah membuat persiapan untuk menghadapi PRN-11 sejak Februari lepas, dan akan turut dibantu oleh 4,800 anggota polis dari Semenanjung dan Sabah.
Selain itu, 1,400 pelatih Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol) Kuching juga akan turut sama membantu sepanjang proses pilihan raya nanti, katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di sini hari ini.
"Semua 10 jabatan dalam PDRM akan terlibat semasa PRN-11 nanti, sebagai contoh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan mengadakan Op Cantas untuk mengesan sebarang kegiatan gangsterism.
Sementara Unit Tindakan Khas (UTK), Unit Forensik serta beberapa pasukan lagi akan turut sama terlibat membantu kita sepanjang PRN-11,” katanya.
Menyenyentuh mengenai permohonan permit ceramah sepanjang kempen pilihan raya nanti, Muhammad Sabtu berkata sebaik proses penamaan calon selesai polis dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan memanggil calon-calon terlibat bagi memberi penerangan terperinci mengenai perkara itu.
Beliau berkata pusat media akan dibuka di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Jalan Badruddin, Kuching yang dijangka beroperasi Jumaat ini.
#Muhammad Sabtu Osman #PDRM #pilihan raya negeri #polis #PRN Sarawak
;