PRN Sabah: Tiga calon Bebas menang, termasuk Masiung pertahan kerusi DUN Kuamut

Bernama
September 26, 2020 05:32 MYT
Dari kiri, Masiung Banah, Ruddy Awah dan Rubin Balang.
Hanya tiga daripada 56 calon bebas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, menang, itupun dengan majoriti tipis, masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, DUN Pitas dan DUN Kemabong.
Calon Bebas Datuk Masiung Banah mengekalkan kemenangan di DUN Kuamut dengan 2,802 undi (majoriti 978), menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Juhari Janan (1,547 undi); Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Benson Inggam (1,824 undi); Parti Cinta Sabah (PCS), Mohd Mezsi Ng Abdullah (721 undi) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Dr Ationg Tituh (270 undi).
Sebelum ini, Masiung menang di DUN itu atas tiket BN dengan mendapat majoriti undi 4,121.
Di DUN Pitas pula, calon bebas Ruddy Awah menang 2,918 undi dengan majoriti 599 undi mengalahkan calon BN Sufian Abd Karim (2,359 undi); Parti Warisan Sabah (Warisan) Shariff Azman (1,565 undi); PCS Sh Sahar Sh Ading (314) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Ilasam Nurkasim (114).
Berdepan saingan enam penjuru di DUN Kemabong, calon bebas Rubin Balang menang 4,214 undi dengan majoriti 1,012 undi, menewaskan calon UPKO Lucas Umbul (3,202 undi); BN, Raime Unggi (2,966 undi); Parti Liberal Demokratik (LDP) Juster Peter (268); PCS, Tay Jin Kiong @ Alfred (229 undi) dan USNO, Rainus Sagulau (73 undi).
Dalam pada itu terdapat lapan calon bebas yang tewas, namun tidak kehilangan wang deposit iaitu di DUN Bengkoka, Maklin Miasiau dengan 1,149 undi; Tandek, Lasiah Baranting @ Anita (2,364 undi); Tempasuk, Datuk Musbah Jamil (2,355 undi) dan Inanam, Kenny Chua Teck Ho (2,346 undi);
Di DUN Kuala Penyu, Mohd Fadzlee Lee Abdullah @ Chun Lee dengan 2,947 undi; Liawan, Jikulin Nointin @ Anastasius (1,835 undi); Labuk, Abdul Rahman Kongkawang (1,441 undi), Gum-Gum, Yunus Nurdin (1,690 undi) dan Sukau, Saddi Abdu Rahman dengan 1,228 undi.
Sementara itu, 43 calon bebas pula tewas dan hilang wang deposit, selepas memperoleh undi kurang satu per lapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira, dalam keputusan PRN malam tadi.
Mereka termasuk penyanyi Jimmy Palikat dengan 60 undi di DUN Tambunan, dan Datu Amir Kahar Tun Datu Mustapha dengan 261 undi di DUN Banggi.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #calon Bebas #DUN Kemabong #DUN Kuamut #DUN Pitas #menang #pilihan raya #PRN Sabah #rakyat #Sabah Memilih
;