PRN Sabah: Skim Pemulihan Perniagaan Tekun bantu peniaga kecil terjejas akibat PKP

Hasimi Muhamad
September 24, 2020 08:30 MYT
Serbiah (kiri) dan Jauiah (kanan) antara peniaga kecil yang terjejas teruk susulan pelaksanaan PKP - Gambar Astro AWANI
Lima bulan tidak dapat menjalankan perniagaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan satu tempoh yang singkat bagi peniaga kecil.
Jika tidak kuat, pasti ada dalam yang tersungkur di pertengahan jalan.
Peniaga sayur Serbiah Hassan, 39, berkata dia terpaksa berjimat dan menyara kehidupan dengan wang simpanan selama tempoh tersebut.
“Perniagaan (kecil) seperti kami ini sentiasa keluar modal. Jadi, simpanan yang ada sikit-sikit kami guna untuk sara kehidupan harian.
“Dengan adanya kemudahan (bantuan) dari segi wang dan pinjaman, ia memang sangat membantu kami yang berniaga kecil-kecilan ini.
"Biar pun RM5,000, ia membantu,” katanya ketika ditemui di sini, pada Rabu.
Jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia bersyukur kerana bantuan Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) membantunya memulakan semula perniagaan.
Keadaan sama turut menimpa tukang jahit Jauiah Kamman, 42, yang hilang punca pendapatan selepas tidak menerima tempahan baju dalam tempoh tersebut.
Sependapat dengan Serbiah, Jauiah berkata bantuan Tekun dapat memperkasakan semula usahawan wanita yang terjejas akibat PKP.
“Alhamdulillah, (perniagaan) naik balik. Kalau ikutkan tengok lebih tinggi (sambutan) berbanding PKP tu.
"Kawan-kawan pun ramai datang... dari jauh datang sini menjahit (tempah baju).
“(Dengan bantuan Tekun), saya dapat beli mesin butang dan benang-benang untuk menjahit,” katanya.
Skim Pemulihan Perniagaan Tekun (TBRS) adalah pembiayaan mikro yang ditawarkan kepada perusahaan mikro yang terjejas akibat COVID-19.
Setakat ini, seramai 34,929 usahawan mikro di seluruh negara menerima manfaat daripada skim tersebut.
#Bantuan Tekun #cerita rakyat sabah #ekonomi #KITA PRIHATIN #Muhyiddin Yassin #Peniaga kecil #PENJANA #Perikatan Nasional #PKP #PRIHATIN #PRN Sabah #Sabah Memilih #Usahawan wanita
;