PRN Sabah: Saya mahu terus bantu mereka kerana saya sayang orang Kota Belud

Assim Hassan
September 19, 2020 09:04 MYT
Walaupun datang dari keluarga yang disifatkan berapa, Fawwaz Zulhair Zulkiffli tidak mahu mengharapkan sepenuhnya kepada keluarga. - Foto Astro AWANI
Menjalankan perniagaan gajet dan telefon bimbit merupakan cita-cita buat seorang anak muda dari Kota Belud ini.
Walaupun datang dari keluarga yang disifatkan senang, tetapi Fawwaz Zulhair Zulkiffli tidak mahu mengharapkan sepenuhnya kepada keluarga.
Dia mahu bangkit untuk membuktikan bahawa dirinya juga mempunyai kebolehan mengendalikan syarikat perniagaan sendiri.
Namun jauh di hati Fawwaz dia punya misi besar. Mahu jadi seorang pemimpin bagi mewakili belia dan penduduk di Kota Belud itu.
Bukan itu sahaja, keuntungan dalam perniagaan dikongsi bersama dengan memberi semula kepada penduduk daerah tersebut menerusi sumbangan.
"Saya sebenarnya ada cita-cita yang mana saya mahu menjadi pemimpin. Saya sayang dengan orang Kota Belud ini kerana mereka (perniagaan) saya berkembang ke tahap ini.
"Itulah sebab kenapa saya sekarang suka memberi (menjana aksesori telefon) kepada mereka jika ada majlis keramaian. Apa yang saya dapat pada hari ini, apa juga keuntungan yang mereka bagi kepada saya, saya bagi balik kepada mereka," katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.
Bapa kepada dua orang anak ini juga optimis bahawa wang bukan segala-galanya tetapi pengorbanan membantu orang lain itu boleh mencipta kebahagiaan.
Akuinya, pengalaman sepanjang berniaga sejak beberapa tahun ini telah mematangkannya mengenai kehidupan sebenar.
Menceritakan lebih lanjut mengenai syarikat menjual dan membaiki telefon bimbit, Fawwaz memberitahu dia banyak mempelajari kemahiran melalui YouTube selain melanjutkan pengajian ke Bogor, Indonesia.
"Saya berada sebulan di Bogor, Indonesia. Saya lebih kepada kemahiran membaiki telefon bimbit jenis iPhone.
"Bukan itu saya, sekarang saya mempunyai dua kakitangan dalam kalangan belia. Saya tidak lokek ilmu dan saya ajar mereka apa yang saya tahu. Saya mahu mereka juga mampu berjaya dan tidak kisah jika mereka jadi pesaing saya kelak," katanya.
#anak muda #Belia #Bung Moktar #cerita rakyat sabah #Fawwaz Zulhair Zulkiffli #keluarga #Kota Belud #Musa Aman #orang Sabah #PRN Sabah #PRN Sabah 2020 #rakyat #Shafie Apdai
;