PRN Sabah: Sarawak sedia kerjasama dengan GRS

Rohana Wahed
September 28, 2020 08:19 MYT
Awang Tengah menegaskan, senario politik di Sarawak berbeza dengan Sabah. - Gambar fail
LAWAS: Sarawak sedia bekerjasama erat dengan Sabah di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baharu memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Sabtu.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rakyat Sabah telah memberi mandat kepada GRS untuk meneruskan pimpinan dan keputusan itu harus diterima dengan hati yang terbuka.
Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari berharap keputusan pilihan raya itu akan membawa kepada kestabilan negeri di Bawah Bayu itu selain merancakkan pertumbuhan ekonominya.
Mengulas mengenai kesan keputusan pilihan raya kepada Sarawak, Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menegaskan, senario politik di negeri ini berbeza dengan Sabah.
Pada 26 September lalu, GRS yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) menang 38 kerusi berdasarkan majoriti mudah pada PRN ke-16 Sabah, mengatasi Warisan yang berjaya mempertahankan 29 kerusi.
Tiga lagi kerusi, daripada 73 kerusi DUN Sabah yang dipertandingkan, dimenangi calon Bebas.
#Sabah #Sarawak #PRN Sabah #Sabah Memilih #Awang Tengah Ali Hasan #GRS #kerjasama #Gabungan Rakyat Sabah #mandat #senario politik
;