PRN Sabah: Pengundi DUN Kiulu berpuas hati dengan SOP
Hasimi Muhamad
September 26, 2020 11:09 MYT
September 26, 2020 11:09 MYT
Di sebalik kebimbangan penularan COVID-19 di Sabah, para pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.15 Kiulu tetap bersemangat menjalankan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, hari ini.
Rata-rata pengundi yang ditemui Astro AWANI di Pusat Mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens menzahirkan keyakinan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pekerja swasta, Laibon Gidongin, 46 tahun, berkata pelaksanaan SOP tersebut tidak memberi kesukaran kepada para pengundi.
“Pada pandangan saya, SOP kali ini sangat ketat, berbaris pun ikut jarak satu meter.
“Semua petugas pilihan raya juga menjalankan tugas dengan baik,” katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini.
Ikuti juga perkembangan terkini PRN Sabah ke-16 di astroawani.com
Sementara itu, Wallison Raupin, 38 tahun, berpendapat penetapan waktu mengundi oleh SPR berkesan bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.
“Bagi saya, ia memudahkan. Memang ia sudah ditetapkan, tetapi sekarang, dibenarkan masuk pada bila-bila masa.
“Jadual saya (waktu mengundi) ialah pada jam 10 pagi, tetapi mereka cakap boleh datang (awal). Jadi, saya datang pukul 9.30 pagi. Saya selesai mengundi pukul 10.14 pagi,” katanya lagi.
Bagi Justina Gobou, 54 tahun, pula, tempat menunggu yang disediakan SPR memberi keselesaan kepada pengundi ketika menunggu giliran.
SMK Tun Fuad Stephens merupakan salah satu daripada 15 Pusat Mengundi yang dibuka bagi DUN Kiulu.
Seramai 10,886 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab di DUN berkenaan dan daripada jumlah tersebut, seramai 2,360 mengundi di sekolah itu.
#Astro Awani
#koronavirus
#operasi
#pilihan raya
#Sabah Memilih
#sekolah
#SOP
#Suruhanjaya Pilihan Raya