PRN Sabah: Pelabuhan antarabangsa bakal jadi lubuk rezeki anak muda

Assim Hassan
September 15, 2020 13:01 MYT
Calon DUN Tanjong Kapor dari Warisan, Chong Chin Bin, melawat kawasan penduduk dalam sesi kempen politiknya. - Astro AWANI
Rancangan pembinaan pelabuhan antarabangsa di Kudat adalah satu inisiatif kepimpinan Parti Warisan Sabah untuk mencipta peluang pekerjaan buat anak muda di kawasan itu.
Inisitiaf tersebut juga akan memberi manfaat kepada belia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor sekali gus menarik minat mereka untuk berkhidmat di kampung halaman sendiri.
Namun, bagi calon DUN Tanjong Kapor dari Warisan, Chong Chin Bin, semua perancangan itu sukar dilaksanakan jika Warisan Plus gagal mendapat mandat rakyat pada PRN Sabah kali ini.
“Warisan menerusi presiden parti selalu ketua menteri ada perancangan membina pelabuhan antarabangsa di Kudat ini bagi membuka peluang pekerjaan buat anak tempatan.
“Mereka tidak lagi perlu keluar daerah atau berhijrah Semenanjung untuk menimba pengalaman dan bekerja,” katanya ketika ditemui Astro AWANI semasa mengadakan Walkabout di Kampung Landung Ayang Laut, Kudat pada Selasa.
Tambah Chin Bin, kedudukan Kudat yang strategik selain berhampiran dengan China, Jepun, Filipina dan Singapura membolehkan pelabuhan antarabangsa itu dimajukan.
Bukan itu sahaja, kata beliau, pihaknya merancang untuk membina kilang-kilang perindustrian di kawasan ini.
Mengikut rekod Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) terdapat 23,700 pengundi berdaftar di DUN Tanjung Kapor. Daripada jumlah itu, 9,252 pengundi merupakan pengundi muda berusia 21 hingga 39 tahun.
Sementara itu, Chin Bin yang juga penyandang kerusi DUN Tanjong Kapor memberitahu, beliau tidak mahu terlalu selesa pada PRN Sabah kali ini.
Akuinya, rata-rata calon yang bertanding mempunyai kelebihan masing-masing dan apa yang penting adalah usaha serta kerja keras mendekati rakyat.
DUN Tanjong Kapor menyaksikan pertembungan lima penjuru di antara Chin Bin, Norlizah Gurahman (BN); Awang Karim Abdul Kadir (USNO); Shawn Davey Robert Lee (PCS) dan Chin Kee Yong (LDP).
#anak muda #cerita rakyat sabah #chong chin bin #Kudat #pelabuhan #peluang pekerjaan #pilihan raya negeri #Pilihan Raya Sabah #Politik Sabah #PRN Sabah #PRN Sabah 2020 #Sabah Memilih #tanjong kapor #Warisan
;